Monday, December 27, 2010

Masih bercuti.....

HARI ini hari Selasa, 28 Disember 2010; aku masih bercuti. Bercuti hingga 31 hb. Oleh itu takde apa yang nak di update kat blog aku ni dengan cerita berkaitan tugas-tugas rakaman video unit kami.

Apa yang dapat aku ceritakan minggu ini rakan-rakan aku akan membuat rakaman seminar, rakaman Syarahan Perdana dan juga ucapan Tahun Baru Tan Sri Naib Canselor. Semua tugas ini dilakukan semasa aku bercuti.

Tugas baru yang akan kami lakukan dan dapat aku ketahui ialah akan terdapat rakaman Multiple Camera Production pada 8 Januari dan juga 28 Januari 2011 akan datang. 8 Januari 2011 ialah rakaman MCP Malam Anugerah Seni UKM 2010 dan pada 28 Januari pula ialah Konsert DiRaja UKM. Apa yang aku harapkan ialah kami akan mendapat bantuan dari krew MCP yang lain semasa rakaman video berkenaan.

daudmontakzakaria

Friday, December 24, 2010

Rakam tapak projek lagi....

HARI ini, 24 Disember 2010; aku masih bercuti lagi hingga 31 Disember 2010. Hari ini jugak aku pergi ke UKM untuk membuat rakaman video tapak projek Sistem Penghawa di Lingkungan Kedua Kampus UKM, Bangi. Tiba di Penerbit UKM, terus berjumpa SDR. SHAHRUL untuk mengambil kamera video dan untuk pergi bersama. Bila semua selesai kami bergerak bersama SITI SURAYAmenuju ke tapak pembinaan berkenaan. Tiba di tapak lebih kurang jam 10.00 am.


Kami rakam pekerja sedang membuat 'piling' di tapak berkenaan. Sebenarnya kami datang ke sini untuk membuat rakaman pengisian konkrit ditapak tersebut. Namun apa yang kami dapat ialah kerja2 piling, apa2 pun ia tidak merugikan kami kerana visual membuat kerje2 piling belum kami rakamkan. Mengikut jadual kerje2 mengisi konkrit ialah pada jam 9.30 am. Rupa2nyer kerje tersebut lewat dari jadual dan hanya bermula pada jam lebih kurang 11.00 am.



Apabila lori2 membawa konkrit tiba kami pun terus membuat rakaman segala tugas yang dilakukan. Mula daripada lori tiba hinggalah konkrit dibubuh kedalam tempat2 yang diperlukan untuk di isi dengan konkrit di tapak pembinaan. Kami juga merakam kepadatan konkrit di uji di tapak pembinaan tersebut sebelum konkrit di isi ke tempat pembinaan.

Melalui perbualan dengan staf yang 'incharge' di tapak tersebut aku dapat mengetahui serba sedikit berkaitan pembinaan sistem penghawa dingin berkenaan. Menurut staf berkenaan, sistem penghawa dingin ini merupakan sistem berpusat yang akan membekalkan hawa dingin ke bangunan-bangunan lingkungan kedua termasuk bangunan Penerbit UKM. Sistem ini dikatakan menjimatkan kuasa letrik dan juga ruang tempat tapak dibina. Berbeza dengan sistem penghawa dingin lingkungan pertama, sistem ini menggunakan air dalam tangki sebagai bahan penyejuk sementara di lingkungan pertama menggunakan bebola air yang disejukkan. Namun konsep adalah sama iaitu menggunakan air sebagai bahan penyejuk. Air akan dibekukan dan suhu sejuk ini akan disalurkan kebangunan-bangunan di sekitar Lingkungan Kedua Kampus UKM.

daudmontakzakaria

Wednesday, December 22, 2010

Sistem Penghawa Dingin TNEC

HARI Sabtu yang lalu iaitu 18 Disember 2010 aku dan sdr. Shahrul membuat rakaman video perkembangan pembinaan Sistem Penghawa Dingin di Lingkungan Kedua UKM. Sebenarnya kali pertama kami telah rakamkan lokasi pembinaan tersebut ialah pada awal bulan Disember 2010 bersama sdr. Kamarul Baharin dan Suraya.

Sdr. Shahrul di tapak pembinaan.

Sebenarnya Penerbit Universiti Kebangsaan telah diminta untuk membuat penerbitan berkaitan pembinaan Sistem Penghawa Dingin ini bermula dari pembinaan tapak bangunan hingga ia siap digunakan. Projek ini dijangka siap pada hujung tahun 2011. Sistem penghawa dingin ini merupakan sistem yang teknologinya berasal dari Jerman. Ini merupakan kali kedua ia dibina di kampus UKM di Bangi. Dikatakan sistem penghawa dingin ini menjimatkan kuasa eletrik.

Penerbit UKM diminta untuk membuat rakaman perkembangan pembinaan sistem ini dari peringkat pembunaan tapak hinggalah projek ini siap digunakan. Rakaman tersebut akan disunting menjadi sebuah penerbitan yang boleh ditayangkan bila diperlukan.

Suraya, aku, Kamarul dan staf TNEC




daudmontakzakaria.

Thursday, December 16, 2010

PeRmAtA.PiNtAr


Hari ini, 16 Disember 2010; aku bersama sdr. Shahrul Fadli, Ramli
dan Ruhaizad membuat persiapan teknikal untuk rakaman MCP program Permata Pintar yang akan dijalankan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM.

Jam 4.00 petang raptai penuh telah dijalankan. Sempat jugak aku serta rakan2 melihat raptai berkenaan dan dapat mengagak apa yang nak dilakukan esok pagi semasa program sebenar berlangsung. Aku sempat melihat staf Pusat Kebudayaan melatih peserta semasa raptai tersebut. Lebih sedikit jam 5.00 petang aku bersama Shahrul dan Ramli beredar dari dewan meninggalkan Ruhaizad yang bertugas mengendalikan multimedia.

Program Permata Pintar esok akan dirasmikan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri. Aku berharap tugas esok dapat dilakukan dengan sempurna walaupun kami kekurangan krew. 4 orang krew kami sedang berada di utara tanah air kerana membuat rakaman video Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia(FEStKUM). Mereka ialah sdr. Kamarul, Jasril Amry, Siti Suraya dan Hanim. Aku harap jugak krew bantuan akan datang untuk turut sama membantu kami kami......

daudmontakzakaria.

Wednesday, December 15, 2010

FEStKUM 2010




HARI ini, 15 Disember 2010;
4 orang krew video dan seorang krew foto bergerak ke utara tanah air untuk membuat rakaman video dan foto Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FEStKUM) 2010. Program ini dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Penerangan. Kali ini FEStKUM diadakan di Institusi Pengajian Tinggi Awam kawasan utara iaitu UNIMAP, UUM, USM dan UiTM Arau.

Krew video kami yang mengikuti rombongan peserta UKM ke utara ialah sdr. Kamarul Baharin Supaat, Jasril Amry, Siti Suraya, Hanim dan seorang Jurufoto iaitu sdr. Ikhwan. Di sana nanti mereka dikehendaki merakamkan secara ENG segala aktivi yang terdapat di festival berkenaan. Footage tersebut akan disunting untuk menjadi sebuah penerbitan yang mempunyai durasi beberapa minit. Mereka akan berada di sana dari 15 - 20 Disember 2010. Diharapkan mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna tanpa sebarang masalah.

daudmontakzakaria

Monday, December 13, 2010

Debat 1 Malaysia Akhir..........


HARI ini 13 Disember 2010; kami dari Unit Audio Video Penerbit UKM telah membuat rakaman video Multiple Camera Production yang menggunakan 3 buah kamera.Tugas yang kami lakukan ialah merakamkan perjalanan debat berkenaan pada peringkat akhir




Persiapan teknikal telah aku lakukan bersama sdr. Shahrul semalam iaitu hari AHAD jam 2.00 petang hingga 7.00 malam. Kami juga telah melihat raptai penuh pada petang semalam. dengan melihat raptai berkenaan, dapatlah kami mengagak apa yang perlu dilakukan semasa rakaman hari ini.


Persiapan alatan telah dilakukan sejak awal pagi lagi iaitu pada jam 7.30 pagi. Tiga buah kamera telah kami pasang. Namun begitu sebelum program bermula keseluruhan sistem telah mengalami masalah iaitu berlaku 'distortion' pada semua sistem. Sebagai jalan selamat kami menutup kamera 1 yang menggunakan kabel JVC yang menjadi punca gangguan berkenaan. Kamera 2 yang mengalami gangguan telah tidak kami gunakan sejak dari awal lagi.

Apabila kamera 1 yang menggunakan kabel JVC kami matikan, semua sistem berjalan dengan baik tanpa gangguan hingga ke akhir program. Tiada banyak yang kami boleh lakukan dari segi shot-shot dengan menggunakan 2 buah kamera.

Debat 1 Malaysia peringkat akhir ini ialah diantara UiTM dan Universiti Pertahanan Malaysia. Ia dimenangi oleh pasukan dari UiTM yang menerima piala pusingan serta wang.

Majlis tersebut di rasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB. Dato' Saifudin bin Abdullah. Tan Sri Naib Canselor UKM juga turut hadir sama dalam majlis berkenaan.

daudmontakzakaria

Thursday, December 9, 2010

'COPYRIGHT'......

Hari ini aku tiba-tiba menerima panggilan luar UKM. Sebenarnya aku pun tak kenal siapa yang membuat panggilan tersebut. Dia memperkenalkan dirinya dan bertanya hal aku. Dia bertanya jugak berkaitan rakaman dan penerbitan yang aku telah buat dan juga yang telah aku 'upload' kan ke YOUTUBE.
Akhirnya aku dapat tahu rupanya video UCAPAN HARI RAYA yang lalu menggunakan muzik yang beliau telah 'compose' semula. Aku takleh nak kata apa2 lah, cuma aku jelaskan muzik tersebut kami 'download' dari internet dan ia cuma digunakan untuk dalaman sahaja bukan untuk mencari keuntungan. Jadi untuk tidak berlaku sebarang perasaan tidak puashati dipihak beliau dan kesalahan di pihak kami, maka aku terpaksa 'delete' video tersebut dari YOUTUBE walaupun beliau tidak pun menuntut aku 'delete' kan video berkenaan.

Memanglah....sepatutnya kami menggunakan muzik yang di 'compose' sendiri untuk mengelakkan perkara ini berlaku. Sememangnya sekarang inipun kami telah secara perlahan-lahan cuba menggunakan beberapa muzik yang di 'compose' sendiri. Sebenarnya ada beberapa buah penerbitan video telah di 'upload' kan ke YOUTUBE, bukan bertujuan untuk mencari apa2 keuntungan cuma untuk berkongsi pengetahuan berkaitan video serta berkongsi maklumat yang kami mampu salurkan melalui video. Tiada apa-apa niat lain pun...

Hari ini jugak aku telah dapat menyiapkan penerbitan video Rumah Peranginan Persekutuan Tasik Kenyir dengan berlatar belakangkan muzik yang di 'compose' oleh sdr. Shahrul Fadli dan berlatar suarakan oleh sdr. Kamarul Baharin. Oleh itu tamatlah penyuntingan yang tak sudah-sudah video berkenaan dan selepas ini akan menerbitakan pula penerbitan yang lain.....

*pict. by google images.

daudmontakzakaria

Rumah Peranginan Persekutuan




Rasanya tiada lagi penyuntingan untuk video RUMAH PERANGINAN PERSEKUTUAN TASIK KENYIR TERENGGANU. Rasanya video ini sudah siap dan tiada apa2 yang perlu diubah. Oleh itu penyuntingan video yang lain akan menyusul jika ada sebarang tugas yang memerlukan rakaman tersebut disunting untuk dijadikan hasil penerbitan untuk tahun 2010 ini. Rasanya tahun ini merupakan tahun dimana beberapa penerbitan telah dapat disiapkan denga sempurna.

Sunday, December 5, 2010

IDEA dalam penerbitan video

IDEA merupakan titik permulaan penerbitan sesebuah penerbitan video atau filem. Idea mungkin boleh dicetuskan oleh individu atau sekumpulan manusia.

Idea untuk sesebuah penerbitan mungkin boleh diasaskan kepada perkara seperti;
- merupakan suatu galakan.
- mengetengahkan sesuatu informasi atau berupa informasi
- menyediakan panduan.

Untuk tujuan motivasi teknik yang boleh digunakan dalam penerbitan ialah secara 'dramtik' atau 'hiburan'. Hasil yang ingin dicapai ialah untuk menjana minat atau meransang penonton untuk mengambil tindakan.

Untuk tujuan informasi bentuk atau kandungan penerbitan yang dipersembahkan dalam bentuk umum atau laporan untuk menarik perhatian penonton.

Untuk tujuan sebagai panduan, oleh sebab ia merupakan persembahan yang mempunyai informasi yang penting, maka perhatian penonton amat penting. Penerbitannya lebih sistematik.

*pict. by google images.

daudmontakzakaria


Friday, December 3, 2010

Masalah bunuh diri di malaysia....


HARI ini aku pergi ke Pusat Perubatan UKM yang dahulunya dikenali sebagai HUKM. Aku ke sana membawa rakan-rakan iaitu sdr. KAMARUL BAHARIN dan SITI SURAYA untuk membuat rakaman SYARAHAN PERDANA Prof. Dr. Maniam Thambu. Disebabkan permohonan kenderaan UKM menghadapi masalah teknikal jadi aku mesti hantar mereka ke sana juga untuk membuat rakaman yang diminta oleh pihak UKM.

Tajuk syarahannya agak menarik juga iaitu Masalah Bunuh Diri di Malaysia. Aku ingin berkongsi sedikit fakta dengan pengunjung. Menurut Prof. Maniam iaitu;
- Anggaran kadar bunuh diri di Malaysia 1990 - 2000 ialah anata 10 - 13 orang per
100,000 penduduk.
- Hampir 1 juta orang bunuh diri setiap tahun iaitu purata setiap 40 saat di seluruh dunia.
- Kadar bunuh diri dikalangan lelaki lebih tinggi berbanding wanita.
- Racun serangga merupakan 1/3 digunakan untuk membunuh diri di seluruh dunia.
- Di Malaysia orang lanjut usia lebih ramai bunuh diri.

Di Malaysia dianggarkan 10 - 13 orang membunuh diri setiap 100, 000 orang. Namun anggaran ini tidak tepat antaranya kerana ada yang dikelaskan sebagai kematian tidak diketahui.

Faktor membunuh diri ialah kerana;
- perubahan sosiobudaya
- perhubungan keluarga dan kesihatan
- masalah kesihatan
- masalah mental

Kakitangan MCP Multimedia PPUKM.

Kumpulan Etnik yang membunuh diri ialah;
Etnik India lebih ramai membunuh diri dengan diikuti oleh etnik Cina dan Melayu. Kadar bunuh diri dikalangan etnik Melayu masih rendah namun ia makin meningkat iaitu antara 1972-1990 meningkat dari 2 per 100,000 orang kepada 6 setiap 100,000 orang.
Begitulah serba sedikit fakta mengenai syarahan berkenaan.

Jika ada individu tertentu ingin mendapatkan buku syarahan perdana ini, anda boleh berhubung dengan Penerbit UKM atau lawat halaman sesawang http://www.ukm.my/penerbit.

Kami pulang ke UKM BANGI kira2 jam 11.00 pagi setelah berada di PUSAT PERUBATAN UKM sejak dari jam 8.00 pagi. Kami juga berkesempatan melihat Krew Multimedia PPUKM membuat rakaman MCP di Auditorium dimana syarahan berkenaan berlangsung.

daudmontakzakaria

Thursday, December 2, 2010

LEPAS NI TIADA LAGI SUNTING VIDEO LUBUK KELAH NI LAGI....





Tiada lagi penyuntingan video ni....rasanya dah tiada apa lagi nak diubah...

Wednesday, December 1, 2010

PLANNING

Menerbitkan sebuah penerbitan video bukanlah semudah kita memetik jari. Ramai yang menganggap ia mudah untuk dilakukan. Bagi yang mengetahui, penerbitan sebuah video yang sempurna memerlukan komitmen dari setiap krew penerbitan serta perkara berkaitan yang lain. Untuk mempastikan penerbitan memenuhi kehendak maka objektif dan kandungan perlu dirancang dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum rakaman dilakukan.

Membuat rakaman video mungkin mudah pada pandangan sesetengah individu, cuma ambil kamera dan terus buat rakaman apa yang hendak dirakam. Namun rakaman sebegini jarang menghasilkan penerbitan yang memuaskan dan kebanyakannya menemui kegagalan.

Sebelum memulakan rakaman, 'planning' amat perlu walaupun untuk penerbitan video yang ringkas. Bina kandungan penerbitan dan rancang cara mem'visual'kan subjek yang akan dirakam.

Perbincangkan perkara berikut semasa 'planning';

- Idea yang jelas
- Objektif-objektif yang ingin dicapai melalui video berkenaan
- Adakah ia berbentuk motivasi, informasi atau pengajaran
- Sasaran penonton penerbitan berkenaan.
- Treatment penerbitan tersebut
- Storyboard disediakan
- Pertimbangkan juga krew yang akan terlibat dalam penerbitan berkenaan.

Perbincangkan juga berkaitan;

- rakaman subjek dalam pita
- penyediaan title
- rakaman suara latar, muzik, kesan bunyi
- penyuntingan dan 'mixing' semua elemen untuk membentuk salinan 'master'
- membuat salinan-salinan

daudmontakzakaria

Tuesday, November 30, 2010

Secebis berkaitan filem DOKUMENTARI

DOKUMENTARI;

Sejarah filem telah bermula sejak lebih satu abad yang lalu. Dikatakan filem dokumentari merupakan filem yang pertama diterbitkan iaitu The Arrival of a Train yang merupakan sebuah rakaman oleh Lumiere bersaudara pada tahun 1895 di Peranchis. Bagaimanapun masa itu filem belum lagi terbahagi kepada genre-genre seperti hari ini.

Dokumentari merupakan sebuah genre filem yang memaparkan apa yang tidak boleh diberikan oleh filem fiksyen atau cereka iaitu peristiwa yang benar(actuality). Ia merupakan gambaran peristiwa yang benar benar berlaku dalam kehidupan.

Dokumentari juga memberi penekanan yang utama kepada pendidikan dan mempengaruhi penonton. Sementara filem fiksyen lebih memberikan penekanan kepada hiburan. Dengan perbezaan yang amat jelas ini, kita sedar sama ada kita sedang menonton filem fiksyen atau dokumentari. Sebenarnya kedua-dua filem dokumentari dan cereka hanya merupakan gambaran realiti kehidupan dalam dunia. Yang membezakan kedua-dua filem tersebut ialah cara gambaran tersebut dipersembahkan di layar.

*pict. by google images
daudmontakzakaria

Thursday, November 25, 2010

Wah! lumayan tugas hujung bulan NOV. ni...

Ermmmm....tugas hujung bulan NOVEMBER dan awal bulan DISEMBER ni agak lumayan. Bukan lumayan dari segi kewangan tapi lumayan dari segi pemintaan untuk rakaman video oleh pihak-pihak dalam universiti.

Apa tidaknya...hari ini rakaman SYARAHAN PERDANA, Isnin, Selasa dan Rabu rakaman seminar anjuran IMBIOSIS di KL, Selasa pula rakaman video perasmian seminar MATEMATIK di PWTC, Jumaat pula rakaman SYARAHAN PERDANA di PPUKM Cheras, dan rakaman video LAWATAN TIMBALAN MENTERI CHINA ke UKM dan mungkin ada lagi pemintaan tugas yang masih dalam perjalanan ke SINI kut.

Mungkin permintaan rakaman yang lumayan ni disebabkan awal bulan DISEMBER pelajar akan kembali berkuliah untuk semester 2 pula. Oleh yang demikian universiti sibuk pulak dengan pengajaran dan seterusnya peperiksaan akhir. Apa2 pun tugas berkenaan akan kami laksanakan setakat yang mampu oleh peralatan dan tenaga kerja....

daudmontakzakaria

Tuesday, November 23, 2010

Penyuntingan LuBuK KeLaH TaSiK KeNyIr dah pun siap...

Hari ini, Selasa 23 November 2010, sebuah lagi penerbitan video telah dapat disiapkan. Lubuk Kelah Tasik Kenyir itulah tajuk penerbitan video ini. Rakaman video ini telah dibuat pada 26 Oktober 2010 iaitu ketika kami mengadakan BENGKEL PENERBITAN VIDEO di TASIK KENYIR dari 24 - 27 Oktober lalu. Terima kasih kepada mereka yang membantu aku menyiapkan penerbitan ini sama secara langsung ataupun tidak langsung(idea). Harap kerjasama berpasukan antara kita akan lebih erat lagi.

Sedikit informasi berkaitan LUBUK KELAH ini. Lubuk Kelah terletak di Sungai Petang, Tasik Kenyir, Terengganu. Ia telah digazetkan sebagai ZON PERLINDUNGAN IKAN KELAH dan aktiviti menangkap ikan di sini adalah amat dilarang. Kawasan ini sentiasa dikawal dengan rapi supaya mereka yang tidak berkenaan dapat dielakkan daripada memasuki kawasan ini. Walau bagaimanapun kunjungan pelawat ke sini melalui cara yang betul tidak dilarang.



daudmontakzakaria.

Monday, November 22, 2010

Ada gak tugas walau student cuti....

Bulan November ini, kerja rakaman berkaitan program pelajar agak kurang kerana buat masa ini pelajar sedang cuti semester. Mereka akan masuk kembali hujung bulan November atau awal bulan Disember.

Oleh itu tugas kami sekarang ini kebanyakannya berkaitan dengan program universiti seperti seminar-seminar fakulti, pusat dan sebagainya. Terdapat juga tugas rakman untuk majlis-majlis makan malam pusat atau fakulti.

Malam ini dua krew video kami SDR. KAMARUL dan SDR. JASRIL AMRY diminta merakamkan majlis makan malam untuk IKON di sebuah hotel di KUALA LUMPUR. Harap mereka dapat menyempurnakan tugas mereka dengan baik dan licin tanpa sebarang masalah.

Minggu lepas dan minggu ini aku dan sdr. Jasril menyiapkan beberapa suntingan video. Sdr. Jasril telah menyiapkan multimedia 1 Malaysia yang akan ditayangkan semasa perasmian 'Inovasi UKM' di BUKIT JALIL pada 24 November nanti. Minggu ini juga aku dijangka akan dapat menyiapkan video 'LUBUK KELAH, TASIK KENYIR'. Sebelum itu aku telah dapat menyiapkan penyuntingan video 'RUMAH PERANGINAN PERSEKUTUAN, TASIK KENYIR'. Kebanyakan tugas penyuntingan aku dibantu oleh SDR. JASRIL AMRY sementara muzik di 'compose' oleh SDR. SHAHRUL. Sememangnya tugas dalam penerbitan program video ini mesti dibuat dengan kerjasama kumpulan. Diharapkan kerjasama kami akan berkekalan selagi kami bertugas di PENERBIT UKM, InsyaALLAH....

*picture by google images.

daudmontakzakaria.

Tuesday, November 16, 2010

PERKAHWINAN RAKAN UNIT AUDIO VIDEO.


12 - 14 NOV. 2010: Aku berada di PERAK kerana menghadiri kenduri kawin rakan kami dari Unit Audio Video, Penerbit UKM, SDR. SHAHRUL FADLI di KUALA KANGSAR.

Dikesempatan yang sama aku singgah dan bermalam di LAYANG-LAYANG KANAN, PARIT, PERAK iaitu kampung kelahiran aku.



13 NOV. 2010; aku bergerak ke KUALA KANGSAR melalui pekan PARIT, MANONG dan juga KUALA KANGSAR. Tiba di rumah pengantin lebih kurang jam 1.00 petang. Ramai gak rakan2 dari PENERBIT UKM yang hadir kenduri rakan kami tersebut seperti AWI, RAMLI ADNAN, WAFIY, SITI SURAYA, JASRIL AMRY, ROSLY MISKAM, AZRUL KHAIRDIR, KHAIDIR, HANIM....ermmm....rasanya itu saja rakan PENERBIT UKM yang aku jumpa. Selepas makan dan bergambar, kami beredar mengikut haluan masing-masing. Aku pulang ke PARIT dan seterusnya ke BANGI pada 14 NOV. 2010. Selain daripada dapat menghadirkan diri ke rumah pengantin, rindu aku kat kampung terubat jua.

foto diambil drpd Facebook ARENIM, terima kasih HANIM.

Friday, November 12, 2010

Ermmmmmm....shooting lagiiiiiiii..........


HAMPIR tengah hari, kami membuat shooting lagi tangan penari-penari Pusat Kebudayaan dengan berlatar belakangkan BENDERA MALAYSIA pula.





Mereka menggayakan tarian tangan yang mewakili pelbagai kaum
di Malaysia.Semua gerak tari di koreogafi kan oleh
perbincangan antara para penari sendiri


Kami rakamkan semua yang mereka reka tarikan berlatar belakangkan BENDERA MALAYSIA. Rakaman ini agak mengambil masa sedikit namun semuanya berjalan lancar.



Tugas-tugas rakaman siap lebih kurang jam 12.15 tengah hari sebelum
semua bersurai. Harapan kami ini merupakan shooting yang
terakhir kerana hujung minggu ini kami
tiada di BANGI.

Shooting untuk Inovasi UKM...

HARI ini Jumaat, kami daripada Unit Audio Video, Penerbit UKM telah membuat rakaman video untuk multimedia HARI INOVASI UKM yang akan diadakan pada hujung bulan November 2010 ini.

Aku, Jasril Amry dan Boss kami Prof. Dr. Kamaruddin M. Said yang kami kenali sebagai PROF. K.

Kanak-kanak TADIKA UKM.
Sebenarnya penggambaran ini telah beberapa hari kami jalankan sebelum ini. Sebelum ini kami gunakan kana-kanak Tadika UKM sebagai subjek rakaman kami. Hari ini kami membuat rakaman tangan Penari-penari Pusat Kebudayaan UKM pula yang diketuai oleh Ketua Jurutari mereka Puan Rosmalinda..........
Para penari Pusat Kebudayaan UKM yang diketuai oleh Ketua Jurutari Pn. Rosmalinda...








Rakaman tersebut dilakukan sebagi visual kepada muzik 1 Malaysia yang akan dikompos oleh pemuzik UKM(kemungkinan). Apa yang kami rakamkan cuma tarian tanga-tangan dan juga 'sign language'.Hanya tangan sahaja yang akan dirakamkan dan dijadikan visual untuk multimedia berkenaan.

Apa-apa pun diharapkan tugas ini akan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Sepanjang rakaman ini semuanya kelihatan lancar tanpa sebarang masalah. Para penari dapat membuat gerakan tangan mereka dengan licin.

















Thursday, November 4, 2010

BOLASEPAK AKHIR PIALA SULATAN ABDUL HALIM MUAZZAM SHAH

SEMALAM, Rabu, 3 November 2010; Kami dari UNIT AUDIO VIDEO, PENERBIT UKM telah membuat rakaman video Multiple Camera Production (menggunakan 3 kamera video) di STADIUM UKM untuk satu perlawanan bolasepak akhir.


Peralatan JELAS JUTA SDN. BHD.


Acara yang kami rakamkan ialah Pertandingan Akhir Bolasepak
Piala SultanAbdul Halim Muazzam Shah
diantara RegimenAskar
Melayu DiRaja.
DYMM Sultan Kedah mencemar Duli turut menyaksikan
perlawanan bolasepak berkenaan.


Disebabkan kami tidak mempunyai peralatan MCP untuk rakaman outdoor yang sesuai, maka kami telah menyewa peralatan berkenaan daripada JELAS JUTA SDN BHD. Pemasangan peralatan telah dilakukan pada hari sebelumnya iaitu hari SELASA. Pengendalian peralatan semua dikendalikan oleh krew kami dengan bantuan teknikal oleh krew Jelas Juta. Kali ini peralatan tersebut terutamanya 'viewfinder' kamera video tidak berapa baik 'condition' nya. Itu merupakan 'feedback' daripada jurukamera yang mengendalikannya.




Kami juga telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan krew
jurukamera daripada jabatan lain di UKM. Mungkin disebabkan tugas2
di jabatan masing2, maka cuma beberapa orang saja yang dapat
meluangkan masa untuk membantu.


Tugas kami bermula dari jam 3.00 petang hingga tamat pada jam 7.00 malam. Perlawanan tersebut diantara Regimen Pertama RAMD dan juga RAMD Para. Keputusan berkesudahan dengan kemenangan 2 - 1 oleh RAMD Para.
Terdapat dikalangan jurukamera kami yang berdiri selama lebih satu jam tanpa duduk sebab kekurangan jurukamera.
Oleh itu aku ucapkan terima kasih kepada krew bantuan kami AZRUL KHAIDIR, MOHD BUKHARI dan YUNUS MISDI serta jurukamera UAV yang terpaksa berdiri lama(mana yang berdiri lama ler...). Terima kasih banyak2.

daudmontakzakaria

Thursday, October 28, 2010

Cerita Semalam.....(27 Okt. 2010)

TASIK KENYIR, TRENGGANU merupakan sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di ASIA TENGGARA. Ia mempunyai keluasan 2,600 KM PERSEGI. Tasik ini terbentuk hasil pembinaan empangan yang siap pada tahun 1988 untuk tujuan menjana kuasa letrik.

Di Tasik Kenyir terdapat banyak lokasi yang menarik untuk dikunjungi dan salah sebuah ialah Lubuk Kelah. Kawasan Lubuk Kelah ini telah digazetkan sebagai zon perlindungan Ikan Kelah.

Untuk tiba di zon perlindungan Ikan Kelah ini, kami perlu menaiki bot dan juga merentas hutan dengan berjalan kaki.

Perjalanan dengan bot dari Rumah Peranginan Persekutuan di Pulau Sah Besar ke lokasi berjalan kaki memakan masa selama kira-kira 45 minit.

Bot meluncur membelah air tasik yang luas kehijauan dengan dipandu oleh Penyelia, Rumah Peranginan Persekutuan iaitu ENCIK ALIAS BIN NORDIN. Masing-masing yang turut serta dalam bot berkenaan kelihatan amat teruja untuk tiba di lokasi yang dituju iaitu LUBUK KELAH.

Pulau-pulau dan daratan yang kehijauan dengan tumbuhan semulajadi kelihatan dikejauhan sepanjang perjalanan kami menghala lokasi yang dituju. Ada ketikanya bot dipandu laju dan ada masanya juga bot tersebut bergerak perlahan. Ini mungkin kerana pemandu bot berkenaan ingin mengelakkan pokok-pokok mati di bawah permukaan air. Kelihatan banyak lagi pucuk pokok-pokok balak yang telah mati kelihatan di permukaan air. Banyak kawasan hutan di lembah-lembah telah ditenggelami oleh air semasa pembinaan tasik ini. Sementara puncak-puncak bukit pula membentuk pulau-pulau kecil yang semuanya berjumlah 340 buah di tasik berkenaan.

Ada ketikanya juga kami terpaksa menolak bot ketika tiba di kawasan air yang cetek. Pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang amat berharga terutama kepada kami yang jarang sekali berpeluang bermesra dengan alam semula jadi. Akhirnya kami tiba jua di lokasi daratan untuk memulakan perjalanan dengan berjalan kaki pula. Laluan berjalan kaki merentas hutan tersebut dimulai dengan sebuah pendakian yang agak tinggi dan agak memenatkan juga.

Tiba dilaluan yang agak landai pula, kami terpaksa menempuh laluan bertiti atau bertangga serta melalui di calah-celah batu licin serta juga yang kasar. Di kiri dan kanan laluan ditumbuhi hutan yang menghijau. Dikatakan dikawasan hutan ini terdapat haiwan seperti gajah, namum hari ini kami tidak pun bertemu dengannya.

Setelah lebih kurang 45 minit berjalan merentas hutan dan menyusur laluan tepi sungai, akhirnya kami sampai di ZON PERLINDUNGAN IKAN KELAH berkenaan yang lebih dikenali sebagai LUBUK KELAH. Tanpa membuang masa, masing-masing menuju ke air untuk bermain dengan iakan-ikan Kelah yang besar jumlahnya. Ikan-ikan kelah ini kelihatan amat jinak memakan makanan yang diletakkan di tangan. Di air yang jernih juga kelihatan kilauan kelibat ikan-ikan Kelah yang berenang dalam air. Pelbagai ragam dan cara masing-masing melayani ikan-ikan Kelah yang jinak tersebut.

Menurut ENCIK ALIAS BIN NORDIN di ZON PERLINDUNGAN IKAN KELAH berkenaan terdapat dua jenis Ikan Kelah yang berpandukan kepada warna iaitu bewarna hitam dan merah. Ikan Kelah yang jinak tersebut merupakan ikan Kelah yang bewarna HITAM sementara yang bewarna merah pula merupakan ikan kelah yang liar dan sukar dipegang.

Setelah puas bermain dengan ikan-ikan kelah berkenaan, maka dalam keadaan berat hati kami mula bergerak untuk meninggalkan LUBUK KELAH tersebut untuk pulang ke RUMAH PERANGINAN PERSEKUTUAN di PULAU SAH BESAR. Kami bergerak pulang melalui laluan semasa kami datang kesini. Ini bermakna masa yang diambil adalah lebih kurang sama ketika kami datang ke sini. Walaupun mungkin tidak lama bermain-main dengan ikan di Lubuk Kelah tersebut namun riak muka masing-masing kelihatan puas setelah berkunjung ke sana.

Sebenarnya ZON PERLINDUNGAN KELAH berkenaan masih tidak begitu popular dikalangan pelancong asing lantaran jarang kelihatan mereka di sini berbanding dengan Kuala Tahan Taman negara di Pahang. Oleh itu diharapkan pihak-pihak yang tertentu dapat mempromosikan kawasan ini kepada pengetahuan pelancong luar negara. Mereka biasanya amat berminat dengan alam semula jadi dan ini tentu akan meningkatkan lagi ekonomi pelancongan Tasik Kenyir.

* Aku membuat rakaman ketika parjalanan ini bermula dan sehingga selesai. Catatan ini akan dijadikan skrip untuk penerbitan video perjalanan berkenaan. Tunggu hasil penerbitan itu nanti....

Terdapat satu sumber menyatakan kos perjalanan ini berjumlah RM1,000 termasuk sewaan bot yang boleh memuatkan 15 orang penumpang.

daudmontakzakaria