Tuesday, August 25, 2009

Bagaimana tugas penerbitan sebuah filem....


Hari ini aku terbaca sebuah tulisan berkaitan pembikinan filem yang ringkas. Oleh kerana ia ringkas, eloklah aku kongsikan dengan pembaca blog ini yang ingin mengetahui serba sedikit tentangnya.

GAMBAR BERGERAK
Gambar bergerak terhasil daripada sejalur filem lut sinar yang panjang yang mengandungi banyak imej tidak bergerak. Projektor yang menayangkan filem tersebut akan menggerakkan 24 keping imej terpisah di filem setiap 1 saat. Setiap satu imej mempunyai perbezaan yang sedikit di antara satu sama lain. Apabila kita menonton imej di layar, otak kita yang akan menyambungkan imej-imej tersebut membentuk satu pergerakan gambar yang lancar di layar.

PRAPENERBITAN FILEM
Katakan seorang Penerbit filem ingin membuat sebuah filem. Penerbit ialah orang yang bertanggung jawab terhadap keseluruhan proses pembikinan filem dari mula hingga akhir. Penerbit dan Pengarah akan bekerja bersama dalam satu kumpulan penerbitan yang besar yang mengadungi berpuluh atau beratus krew dengan perbelanjaan yang besar hingga mencecah jutaan ringgit.

Pembikinan filem bermula dengan penulis skrip lakon layar. Penulis skrip lakon layar ini menukar cerita contohnya dari sebuah novel ke bentuk teks yang dikenali sebagai skrip filem. Skrip filem dipinda beberapa kali. Pengarah yang dilantik oleh Penerbit untuk mengarah filem berkenaan akan bekerja dengan pelukis untuk menukarkan skrip filem kepada 'storyboard'. Catatan akan ditambah untuk memberi perincian bagi dialog, muzik dan kesan khas(special effect). Skrip filem dan 'storyboard' membantu Pengarah untuk memvisualkan setiap adegan yang akan dipapar dan melancarkan aksi dalam filem.

PENGURUS LOKASI akan merayau atau mencari lokasi-lokasi yang sesuai untuk penggambaran adegan. Tugas ini dikenali sebagai RECEE. Penerbit Lokasi ini akan menghubungi tuan punya setiap lokasi, mendapatkan kebenaran untuk penggambaran dan juga merundingkan sewa lokasi dan sebagainya. Dia juga perlu menguruskan penutupan jalan-jalan dalam bandar kepada lalulintas sepanjang penggambaran.

PENGARAH PEMILIHAN PELAKON mengupah pelakon untuk mengisi watak-watak dalam filem. Dua bintang utama iaitu hero dan heroin akan ditawarkan untuk berlakon melalui ajen atau pengurus mereka. Sementara pelakon yangkurang penting akan di uji bakat. Mungkin ratusan pelakon akan diuji dan akan diputuskan siapa yang layak.

PEREKA BENTUK.
Pereka bentuk penerbitan bekerja dengan pelukis 'storyboard' dan Pengarah untuk merancang suasana visual yang betul. Pereka set menukar idea ini kepada arahan berkaitan cara untuk membina set dalam studio.


PENERBITAN

Penggambaran di luar dikenali sebagai penggambaran di lokasiKrew dan pelakon filem mengambil tugas masing-masing. Beberapa jam mungkin diperlukan untuk menyolek pelakon.

Solekan khas;
Dilakukan untuk menukar rupa pelakon contihnya seperti wajah hantu, dan sebagainya.

Solekan biasa;
Dilakukan untuk mengubah wajah pelakon untuk disesuaikan dengan watak. Krim dan bedak mekap bewarna mengubah umur dan warna kulit.

Pakaian
Pelakon utama mempunyai pakaian yang dibuat khas untuk mereka. Pembekal pakaian akan meneliti skrip berminggu lamanya. Mereka akan mengumpul semua pakaian yang diperlukan oleh setiap pelakon disetiap adegan. Pakaian-pakaina ini didapati dari koleksi studio ataupun di sewa.


Pengarah akan cuba merakamkan seberapa banyak adegan atau babak setiap hari. Apabila semuanya telah sedia Pengarah akan memulakan penggambaran. Jeritan 'ACTION' dan 'CUT' dari mulut Pengarah adalah perkataan biasa dalam penggambaran. Rakaman kamera dan rakaman bunyi akan dimulakan sebaik sahaja pelakon beraksi seperti yang dikehendaki oleh Pengarah. Rakaman sesuatu adegan akan dibuat beberapa kali sehingga Pengarah berpuas hati.


Kesinambungan atau 'continuity'
Filem yang telah siap sebenarnya dibuat daripada adegan-adegan yang dirakam pada masa yang berlainan. Penyelia Kesinambungan mengambil gambar foto dan menulis catatan pada setiap adegan. Tugas ini dilakukan untuk memastikan bahawa adegan-adegan tersebut bersesuaian. Penyelia Kesinambungan ini menasihat jurusolek tentang penampilan setiap pelakon. Dia juga memeriksa agar kostum tidak berubah antara adegan-adegan dalam satu babak.

Jika tiada sinar matahari;
Cahaya matahari mungkin terlindung tetapi penggambaran tetap diteruskan dengan bantuan lampu. Kipas yang besar juga digunakan untuk memberi bayu lembut atau angin kencang yang meniup pelakon. Hujan dihasilkan dari perenjis air di atas kepala pelakon.



PENGGAMBARAN


Kamera filem bergerak;

Roda bergerigi dalam kamera filem menggerakkan filem ketika rakaman dibuat. Lens atau kanta kamera memfokus imej ke atas filem apabila filem melalui kamera 24 bingkai atau frame yang berasingan sesaat. Pelbagai jenis lens atau kanta digunakan semasa penggambaran iaitu untuk shot dekat dan jauh.

Filem untuk kamera bergerak merupakan jaluran plastik tahan lasak yang panjang yang mempunyai ketebalan lebih kurang 1/5 mm. tebal. Disaluti bahan kimia yang peka kepada cahaya yang dikenali sebagai 'emultion'. dan ketebalan di atas filem lebih kurang 15/1000mm. tebalnya. Ia mempunyai tiga lapisan yang peka kepada cahaya biru, hijau dan merah.

Satu minit penggambaran memerlukan 27 meter filem. Untuk satu filem cereka ia memerlukan 2.5 Km atau 1.5 batu filem.


Rakaman Bunyi;

Petugas bunyi atau juruaudio menggunakan perakam pita mudah alih semasa penggambaran di lokasi. Mutu bunyi di lokasi biasanya tidak elok atau sesuai bagi filem siap. Rakaman ini digunakan sebagai panduan pelakon proses 'dubbing' dalam studio untuk dimasukkan ke dalam aksi filem.


LAGAK NGERI

Biasanya lagak ngeri dilakonkan oleh pelakon aksi atau pelagak ngeri. Mereka berpakaian dan di solek seperti bintang filem utama. Biasanya adegan lagak ngeri dirakamkan dari jauh oleh itu wajah pelakon ngeri tersebut tidak kelihatan. Shot-shot yang lebih dekat adalah menggunakan wajah pelakon yang sebenar.

Aksi lagak ngeri berjalan beberapa minit sahaja tetapi ia mengambil masa beberapa jam untuk membuatnya. Biasanya pelindung khas dipasang untuk melindungi pinggul, tulang belakang, bahu dan siku pelagak ngeri untuk mengelak kecederaan yang berat. Untuk aksi lasak berkaitan api, pelakon ngeri memakai pakaian dan sarung tangan kalis api selepas pakaian perisai dan sebagainya. Topeng seperti wajah pelakon utama dipakai. Letupan dan percikan api dibuat oleh pakar yang berkenaan.


MEMBINA SET

Terdapat juga beberapa adegan dalam sebuah filem memerlukan rakaman dalam studio yang dikenali sebagai penggambaran atas set. Set biasanya mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan. Pelan set dimulakan semasa peringkat PRA PENERBITAN apabila pereka bentuk penerbitan berbincang dengan Pengarah. Satu set pelan dilukis di komputer. Bahagian-bahagian yang tidak dilihat oleh kamera tidak akan dihias.

Pereka bentuk set akan menggunakan lakaran-lakaran set untuk membuat set dengan ukuran yang sebenar. Komputer membantu melihat setiap sudut set. Tukang kayu dan juruhias set membuat dan menghias set menjadi kelihatan seperti hidup dan betul.

Pembuat model membuat model yang sempurna bagi setiap set. Ia membantu Pengarah dan Juruteknik untuk menentukan kedudukan kamera dan lampu. Model-model juga digunakan untuk penggambaran kesan khas(special effect). Contohnya ialah dalam adegan letupan dan kebakaran.


BUNYI

Setelah siap penggambaran, bunyi pula mesti dimasukkan ke filem. Bunyi untuk filem iaitu suara pelakon, muzik dan bunyi kesan khas. Bunyi di adun dengan menggunakan Konsol Pengadun Bunyi. Pengadun bunyi duduk di depan konsol memerhatikan gambar filem. Tugasnya ialah memastikan gambar bergerak serentak dengan bunyi. Konsol ini boleh menjalankan filem kedepan dan kebelakang filem dengan kelajuan berbeza.

Muzik memberi kesan kepada filem. Muzik memainkan alat muzik dalam studio dan dirakam dipita secara berasingan. Ia kemudian di adun dengan pengadun bunyi.

Mutu bunyi dari penggambaran di lokasi adalah tidak bermutu untuk filem. Oleh itu dubbing skrip pelakon akan di rakam dalam studio. Pelakon bercakap berulang kali sehingga benar-benar sepadan dengan pergerakan bibir pelakon dalam filem. Bunyi seperti tapak kaki, letupan, bunyi haiwan rimba juga dimasukkan.


MENCANTUM FILEM

Pengarah dan Penyunting filem bertugas bersama untuk memilih filem atau shot untuk menghasilkan filem siap. Mesin Meja Suntingan digunakan untuk menggerakan filem kehadapan dan kebelakang. Ia juga turut memainkan dua pita bunyi iaitu satu pita mengandungi suara pelakon dan satu pita lagi mengandungi muzik atau kesan bunyi. Penyunting memotong dan menyambungkan filem-filem ini. Dengan menggunakan mesin ini filem dan pita rakaman digerakkan bersama supaya gambar dan bunyi sepadan. Sebuah filem mengandungi empat bahagian utama iaitu gambar, suara pelakon, muzik dan kesan bunyi. Semua bahagian ini disambungkan dengan tepat untuk menjadikan sebuah filem.


PRATONTON;

Filem siap ditayangkan buat pertama kali secara pra tonton tertutup di hadapan khalayak tertentu. Pakar filem, pekerja pemasaran studio diantara yang dijemput untuk menonton. Mereka menonton filem yang pertama kali ditayangkan. Pandanga-pandangan yang membina akan membantu Pengarah untuk melihat bahagian-bahagian tertentu yang memerlukan penyuntingan semula.


TAYANGAN PERDANA

Dalam tayangan perdana khalayaknya terdiri daripada bintang-bintang filem, pengkritik filem, wartawan akhbar dan tv turut serta. Selepas tayangan perdana, tayangan umum pula dilakukan. Ia ditayangkan di bandar-bandar besar oleh panggung-panggung wayang yang menerima salinan-salinan filem berkenaan.

No comments: