Monday, June 18, 2012

SKrip viDEO KUala sepeTANG...


.......ini merupakan video nostalgia kuala sepetang jer...dokumentari
 kuala sepetang dgn skrip di bawah belum siap lagi...




SKRIP VIDEO KUALA SEPETANG;
Larut Matang dan Selama merupakan sebuah daerah di utara negeri Perak. Ia mempunyai keluasan 170 kilometer persegi. Daerah ini ditadbir oleh Majlis Perbandaran Taiping dan Majlis Daerah Selama.
Daerah Larut Matang dan Selama lebih dikenali kerana beberapa perkara diantaranya ialah tempat pertama dibina jalan keretapi pertama di Tanah Melayu dari Port Weld ke Taiping dalam tahun 1885, Kuala Sepetang, Taman Tasik Taiping, Hutan Paya Laut, Tapak Pra Sejarah Pulau Kalumpang dan sebagainya.


Bandar Taiping terletak di utara negeri Perak. Ia merupakan Bandar terawal di Negara ini yang telah dibina oleh Inggeris dalam tahun 1880-an. Taiping mempunyai penduduk lebih kurang 200 ribu orang. Bandar ini berkembang hasil daripada terjumpanya bijih timah dalam abad ke Sembilan belas. Ramai buruh dari China telah masuk untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah ketika itu.
Sekarang ini Taiping yang merupakan Bandar pentadbiran daerah Larut matang dikenali sebagai Bandar warisan. Sesuai dengan gelaran sebagai bandar warisan, bandar Taiping masih mengekalkan bangunan-bangunan lama yang dibina di zaman penjajah Inggeris. Bandar taiping juga pernah menjadi ibu negeri Perak sehingga tahun 1937 sebelum diambilalih oleh bandar Ipoh.


Kuala Sepetang yang dahulunya dikenali sebagai Port Weld, terletak di kuala sungai yang bertemu dengan Selat Melaka. Ia mempunyai jarak ............ Kilometer dari Bandar Taiping.
Di kawasan ini terdapat Hutan Paya Laut yang luas yang mewakili kira-kira 7% hutan paya laut di Negara ini. Keluasan hutan paya lautnya ialah lebih kurang 40 ribu hektar.
Sebahagian besar penduduk Kuala Sepetang ialah terdiri daripada kaum Cina dan aktiviti ekonomi penduduk setempat ialah sebagai nelayan dan peniaga.

Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Kuala Sepetang yang diuruskan oleh Jabatan Perhutanan bertanggung jawab mengawasi hutan paya di sini. Mereka mengawal segala aktiviti yang melibatkan hutan paya bakau. Dikatakan pengurusan hutan paya laut di sini merupakan yang terbaik di dunia.
Kebanyakan pokok-pokok hutan paya laut ini ialah terdiri daripada pokok-pokok bakau. Seperti yang diketahui hutan paya bakau amat penting dan istimewa kerana ia menjadi penampan kepada tsunami. Selain daripada itu ia juga menjadi habitat pelbagai spesisi haiwan dan burung. Dikatakan hutan ini menyimpan 114 spesis ikan, 20 spesis udang dan 48 spesis ketam dan 156 spesis burung. Bukan setakat itu, hutan paya ini penting sebagai tempat pembiakan hidupan akuatik dan bukan akuatik. Hutan Paya Laut ini telah digazetkan sebagai hutan simpan dalam tahun 1902.

Di sekitar perairan Hutan Paya laut Kuala Sepetang ini terdapat pelbagai aktiviti nelayan dijalankan. Di sini terdapat aktiviti memelihara ikan dalam sangkar. Dikatakan sepsis ikan yang dipelihara di sini antaranya ialah Ikan Kerapu. Hasil yang diperoleh akan di eksport ke luar Negara seperti Jepun.
Wujud juga kegiatan pemeliharaan kerang yang juga diusahakan oleh penduduk setempat. Tiap-tiap pancang yang terdapat di perairan ini merupakan tapak pemeliharaan kerang. Apabila telah cukup matang kerang-kerang ini akan dituai dengan menggunakan cara yang khusus. Di sini juga terdapat pengusaha chalet terapung yang mengenakan kadar sewa yang berpatutan. Tentu seronok jika dapat menginap di chalet terapung seperti ini.

Di sekitar kawasan Kuala Sepetang juga terdapat perusahaan membuat kayu arang. Perusahaan kayu arang ini telah wujud sejak tahun 1930-an lagi. Bekalan kayu yang diperoleh kilang arang kayu ini didapati daripada pokok-pokok bakau yang tumbuh di Hutan paya Laut. Terdapat beberapa dapur dalam setiap kilang membuat arang kayu ini. Dapur ini dibina daripada batu bata dan berbentuk separuh bulat. Bentuk separuh bulat ini bertujuan untuk memberikan suhu yang sekata dalam dapur berkenaan untuk mengeringkan kayu-kayu di dalamnya.


Kebiasaannya jenis Kayu Bakau Minyak dan Kayu bakau Kurap yang digunakan untuk menghasilkan arang kayu yang berkualiti.
Kayu-kayu yang hendak dibuat arang ini akan disusun secara menegak dalam dapur tersebut. Biasanya sebuah dapur boleh memeuatkan 1500 batang kayu.
Setelah selesai kayu disusun, pintu dapur akan di tutup dengan tanah liat dan pasir dengan meninggalkan sedikit ruang untuk tempat menyalakan api.
Proses memanaskan kayu dalam dapur mengambil masa selama sebulan. Sebenarnya kayu tersebut bukan dibakar tetapi dipanaskan. Suhu tinggi dalam dapur akan mengeringkan kayu-kayu dan seterusnya menjadikannya kayu arang. Dalam proses ini kayu dibakar dengan api yang kuat selama 10 hari. Ia kemudian dibakar dengan api yang sederhana. 10 hari yang terakhir api dipadamkan dan pintu dapur ditutup atau disimen sepenuhnya. Wap berbentuk asap akan keluar dari ruang yang terdapat di bahagian atas dapur berkenaan. Kayu akan menjadi arang setelah tiada lagi wap berbentuk asap keluar lagi dari dapur tersebut.
Setelah itu kayu arang dikeluarkan serta dibungkus dan dipasarkan. Hasil arang kayu ini juga dieksport ke luar Negara seperti jepun. Sebenarnya kayu arang bukan saja digunakan untuk bahan bakar malah untuk menjadi bahan ubatan dan bahan dalam pembuatan alat solek.

Berhampiran Kuala Sepetang juga terdapat bekas penggalian perkuburan masyarakat pra sejarah. Pulau Kalumpang telah diistiharkan sebagai kawasan bersejarah kerana terdapat artifak yang berusia lebih 1000 tahun telah dijumpai di sini. Diantara artifak yang dijumpai di tapak pra sejarah ini ialah tengkorak dan rangka manusia, periuk belanga, kubur, manic-manik dan sebagainya. Terdapat sejumlah besar kulit kerang terdapat di sini. Ahli arkeologi percaya kawasan ini pernah didiami oleh masyarakat Melayu Proto. Tapak arkeologi ini dikatakan amat penting kerana ia merupakan satu-satunya tapak arkeologi Hutan Paya Laut yang wujud di Asia Tenggara.

Tidak jauh dari Kuala Sepetang terdapat destinasi persinggahan burung antarabangsa ketika musim sejuk. Tempat berkenaan amat diminati oleh pelancong dan pengkaji dari dalam dan luar Negara. Kuala Gula menjadi tempat persinggahan pelbagai spesisi burung. Fenomena ini terjadi dari bulan Ogos hingga bulan April pada setiap tahun. Segala informasi Kuala Gula boleh didapati di Pusat Konservasi Kuala Gula.
Pusat Konservasi Hidupan Liar Kuala Gula ini telah ditubuhkan dalam tahun 1980. Ia terlibat dalam aktiviti-aktiviti konservasi burung. Pusat ini diuruskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Kuala Gula merupakan salah sebuah daripada 55 kawasan di Negara ini yang telah dikenalpasti sebagai kawasan penting burung-burung. Manakala di seluruh dunia terdapat lebih kurang 7,500 buat kawasan penting burung-burung.

Selain daripada itu di Kuala Sepetang juga terdapat Muzium Matang. Muzium ini pada asalnya merupakan kediaman Ngah Ibrahim, pembesar Perak. Ia telah dibina dalam tahun 1854. Muzium ini menyimpan pelbagai sejarah lampau. Koleksi bahan-bahan yang dipamerkan di sini adalah terdiri daripada bahan-bahan milik Long Jaafar, Ngah Ibrahim, zaman pemerintahan Inggeris, pemerintahan Jepun dan sebagainya. Ngah Ibrahim menjadikan kediamannya sebagai pusat pentadbiran daerah Larut. Ia kemudian digunakan oleh penjajah Inggeris setelah Ngah Ibrahim dibuang negeri. Kediaman ini juga pernah menyaksikan perbicaraan mereka yang terlibat dalam pembunuhan Residen Inggeris iaitu JWW Birch. Datuk Maharaja Lela bersama pengikutnya telah dibicarakan di sini. Di luar kediman ini terdapat pusara Ngah Ibrahim. Muzium Matang ini sentiasa dijaga dan ia sentiasa sedia untuk menerima kunjungan para pelawat.

Kunjungan ke Kuala Sepetang tidak akan lengkap jika tidak singgah di gerai-gerai ‘mee udang’ yang terdapat di sekitar sini. Dikatakan mee udang yang dijual di sini amat enak dan harganya amat berpatutan.

Sebenarnya di negeri Perak masih banyak lagi tempat-tempat yang istimewa untuk dikunjungi. Daerah Larut Matang dan Selama cuma sebahagian sahaja daripada daerah-daerah di Perak yang kaya dengan sejarah silam dan juga lokasi-lokasi menarik untuk dilawati.

*akan aku abadikan skrip ini dalam video yang bakal aku terbitkan...tunggu jer....

DAUDmontakzakaria

No comments: