Sunday, March 30, 2008

Sanggar Kerja PUSAT PENG. BIOSAINS


Chalet Tuk-Tuk di Janda Baik, Pahang. Seketika sebelum bas bertolak semula ke UKM.

Dari tarikh 29 - 30 Mac 2008, kami (DAUD & RAMLI) telah membuat rakaman video Sanggar Kerja Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, FST di Janda Baik, Pahang. Kami bertolak dengan menaiki bas dari UKM ke Janda Baik pada 29 Mac 08, jam 8.00 pagi. Rakaman tersebut telah dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Hasil rakaman ini akan disunting menjadi sebuah program video yang sempurna(mungkin dengan muzik tanpa skrip). Kami selamat kembali semula ke UKM pada 30 Mac 2008, jam 5.00 petang dalam cuaca mendung dengan hujan yang agak lebat.

Friday, March 28, 2008

Latihan MCP Pelajar Pengajian Media UKM




Dalam Semester Kedua 2008 ini, bermulalah latihan Multiple Camera Production(MCP) Pelajar Pusat Pengajian Media Universiti Kebangsaan Malaysia di Studio UKM. Semangnya pada setiap Semester Kedua pada setiap tahun pelajar yang mengambil kursus tersebut akan membuat penerbitan MCP untuk dinilai oleh pensyarah setelah beberapa kali mereka membuat latihan di Studio UKM. Kebanyakan penerbitan yang dihasilkan adalah berbentuk majalah. Setelah tamat latihan untuk beberapa kali, mereka akhirnya akan dinilai oleh pensyarah yang mengendalikan kursus tersebut iaitu PROF. MADYA DR. ASIAH SARJI.

Saturday, March 22, 2008

Teater ARA HANTU


Pengarah Studio(Kamarul) bersama 2 orang Pelajar Pusat Pengajian Media, UKM
Teater ARA HANTU
Pengarah Studio(Kamarul) bersama 2 orang Pelajar Pusat Pengajian Media, UKM


22 Mac 2008, sebuah teater berjudul ARA HANTU telah dipersembahkan kepada para penonton di Panggung Seni, DECTAR. Studio UKM telah membuat rakaman video Multiple Camera Production persembahan teater berkenaan. Seramai 10 orang kakitangan telah terlibat dalam rakaman itu termasuk kakitangan dari jabatan lain dalam UKM yang telah diminta bersama membantu. Teater berkenaan telah dipersembahkan di hadapan para penonton termasuk YBhg. Prof. Dato' Dr. Wahid Shamsudin, Timbalan Naib Canselor, UKM. Selama satu jam setengah bermula dari jam 8.30 malam, para penonton telah terpaku ditempat duduk masing-masing dengan penuh minat menyaksikan persembahan teater berkenaan.

Komposisi dalam Video

Contoh LOOKING ROOM atau LOOKING SPACE


Contoh WALKING ROOM


Dalam penggambaran video komposisi merupakan satu perkara yang tidak kurang pentingnya. Komposisi gambar adalah berkaitan dengan cara mengatur elemen-elemen satu-satu shot sebagai satu cara komunikasi dengan lebih berkesan. Dalam masa yang sama dapat mencapai satu imej yang seimbang dan menyelesakan. Komposisi yang baik dapat dicapai dengan cara latihan. Setiap kali kita ingin memulakan shot, elemen dalam bingkai perlu diteliti. Jadikan satu kebiasaan memerhatikan setiap elemen didalam frame yang hendak dirakam. Beri perhatian disetiap sudut viewfinder kamera supaya elemen yang tidak diperlukan tidak masuk dalam frame yang ingin dirakam, umpamanya separu tubuh manusia atau separuh daripada bangunan. Seringkali ingatkan diri kita, mengapa kita mengambil shot berkenaan, apa yang kita cuba untuk sampaikan dan apakah kesan yang diharap untuk dicapai. Keluarkan elemen-elemen yang tidak diperlukan dari bingkai atau frame. Contohnya ialah dua orang sahabat yang telah berpuluh tahun tidak berjumpa dan apabila berjumpa mereka berpeluk dengan erat. Keadaan berpelukan itu hendaklah di shot dengan CLOSE UP atau EXTREME CLOSE UP yang menggambarkan keintiman mereka.


Merakamkan subjek yang sedang bergerak juga perlu berhati-hati kerana pergerakannya yang tidak dijangka akan menyebabkab subjek akan terkeluar daripada frame atau bingkai. Contohnya apabila merakam seorang pemain bola sedang membawa bola di kakinya, ruang dihadapan pemain hendaklah diluaskan. Ruang dihadapan ini dikenali sebagai WALKING ROOM sementara ruang dibelakang lebih kecil(BACK ROOM/ BACK SPACE).


Begitu juga bila merakamkan seseorang sedang memandang sesuatu, ruang dihadapan atau LOOKING ROOM atau juga LOOKING SPACE mestilah lebih luas dari bahagian belakang(BACK ROOM/ BACK SPACE).

Rakaman MCP oleh Studio UKM


Kakitangan produksi sedang bertugas dalam studio kawalan di STUDIO UKM
pada 2 Mac 2008 yang lalu.

Pada 2 Mac 2008, Studio UKM telah membuat rakaman video KONSERT AMAL SENI ISLAM di DECTAR, UKM. Program ini telah berlangsung dari jam 8.30 malam hingga 11.30 malam. Seramai 11 orang kakitangan telah terlibat dalam rakaman berkenaan dimana 5 orang berada dalam studio dan 6 orang secara bergilir-gilir mengendalikan 3 buah kamera video. Tugas-tugas yang dilakukan oleh kakitangan ialah seorang bertindak sebagai Pengarah Studio, seorang memasukkan grafik, seorang mengendalikan 'switcher', seorang standby untuk sebarang masalah teknikal, seorang mengawal audio dan 6 orang mengendalikan kamera video. Sememangnya setiap rakaman video Multiple Camera Production(rakaman video kamera berbilang) dilaksanakan sekurang-kurangnya memerlukan 10 orang kakitangan. Kebanyakan kakitangan yang membantu tugas-tugas tersebut adalah dipelawa dari jabatan-jabatan lain dalam kampus UKM di Bangi. Tugas ini telah dilakukan sedemikian rupa sejak Studio UKM diwujudkan pada tahun 1993 yang lalu. Tenaga kerja yang lebih ramai diperlukan semasa rakaman MCP Majlis Konvokesyen UKM pada setiap tahun iaitu seramai lebih daripada 20 orang sepanjang satu minggu majlis berkenaan berlangsung.