TASIK KENYIR, TRENGGANU merupakan sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di ASIA TENGGARA. Ia mempunyai keluasan 2,600 KM PERSEGI. Tasik ini terbentuk hasil pembinaan empangan yang siap pada tahun 1988 untuk tujuan menjana kuasa letrik.
Di Tasik Kenyir terdapat banyak lokasi yang menarik untuk dikunjungi dan salah sebuah ialah Lubuk Kelah. Kawasan Lubuk Kelah ini telah digazetkan sebagai zon perlindungan Ikan Kelah.
Untuk tiba di zon perlindungan Ikan Kelah ini, kami perlu menaiki bot dan juga merentas hutan dengan berjalan kaki.
Perjalanan dengan bot dari Rumah Peranginan Persekutuan di Pulau Sah Besar ke lokasi berjalan kaki memakan masa selama kira-kira 45 minit.
Bot meluncur membelah air tasik yang luas kehijauan dengan dipandu oleh Penyelia, Rumah Peranginan Persekutuan iaitu ENCIK ALIAS BIN NORDIN. Masing-masing yang turut serta dalam bot berkenaan kelihatan amat teruja untuk tiba di lokasi yang dituju iaitu LUBUK KELAH.
Pulau-pulau dan daratan yang kehijauan dengan tumbuhan semulajadi kelihatan dikejauhan sepanjang perjalanan kami menghala lokasi yang dituju. Ada ketikanya bot dipandu laju dan ada masanya juga bot tersebut bergerak perlahan. Ini mungkin kerana pemandu bot berkenaan ingin mengelakkan pokok-pokok mati di bawah permukaan air. Kelihatan banyak lagi pucuk pokok-pokok balak yang telah mati kelihatan di permukaan air. Banyak kawasan hutan di lembah-lembah telah ditenggelami oleh air semasa pembinaan tasik ini. Sementara puncak-puncak bukit pula membentuk pulau-pulau kecil yang semuanya berjumlah 340 buah di tasik berkenaan.
Ada ketikanya juga kami terpaksa menolak bot ketika tiba di kawasan air yang cetek. Pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang amat berharga terutama kepada kami yang jarang sekali berpeluang bermesra dengan alam semula jadi. Akhirnya kami tiba jua di lokasi daratan untuk memulakan perjalanan dengan berjalan kaki pula. Laluan berjalan kaki merentas hutan tersebut dimulai dengan sebuah pendakian yang agak tinggi dan agak memenatkan juga.
Tiba dilaluan yang agak landai pula, kami terpaksa menempuh laluan bertiti atau bertangga serta melalui di calah-celah batu licin serta juga yang kasar. Di kiri dan kanan laluan ditumbuhi hutan yang menghijau. Dikatakan dikawasan hutan ini terdapat haiwan seperti gajah, namum hari ini kami tidak pun bertemu dengannya.
Setelah lebih kurang 45 minit berjalan merentas hutan dan menyusur laluan tepi sungai, akhirnya kami sampai di ZON PERLINDUNGAN IKAN KELAH berkenaan yang lebih dikenali sebagai LUBUK KELAH. Tanpa membuang masa, masing-masing menuju ke air untuk bermain dengan iakan-ikan Kelah yang besar jumlahnya. Ikan-ikan kelah ini kelihatan amat jinak memakan makanan yang diletakkan di tangan. Di air yang jernih juga kelihatan kilauan kelibat ikan-ikan Kelah yang berenang dalam air. Pelbagai ragam dan cara masing-masing melayani ikan-ikan Kelah yang jinak tersebut.
Menurut ENCIK ALIAS BIN NORDIN di ZON PERLINDUNGAN IKAN KELAH berkenaan terdapat dua jenis Ikan Kelah yang berpandukan kepada warna iaitu bewarna hitam dan merah. Ikan Kelah yang jinak tersebut merupakan ikan Kelah yang bewarna HITAM sementara yang bewarna merah pula merupakan ikan kelah yang liar dan sukar dipegang.
Setelah puas bermain dengan ikan-ikan kelah berkenaan, maka dalam keadaan berat hati kami mula bergerak untuk meninggalkan LUBUK KELAH tersebut untuk pulang ke RUMAH PERANGINAN PERSEKUTUAN di PULAU SAH BESAR. Kami bergerak pulang melalui laluan semasa kami datang kesini. Ini bermakna masa yang diambil adalah lebih kurang sama ketika kami datang ke sini. Walaupun mungkin tidak lama bermain-main dengan ikan di Lubuk Kelah tersebut namun riak muka masing-masing kelihatan puas setelah berkunjung ke sana.
Sebenarnya ZON PERLINDUNGAN KELAH berkenaan masih tidak begitu popular dikalangan pelancong asing lantaran jarang kelihatan mereka di sini berbanding dengan Kuala Tahan Taman negara di Pahang. Oleh itu diharapkan pihak-pihak yang tertentu dapat mempromosikan kawasan ini kepada pengetahuan pelancong luar negara. Mereka biasanya amat berminat dengan alam semula jadi dan ini tentu akan meningkatkan lagi ekonomi pelancongan Tasik Kenyir.
* Aku membuat rakaman ketika parjalanan ini bermula dan sehingga selesai. Catatan ini akan dijadikan skrip untuk penerbitan video perjalanan berkenaan. Tunggu hasil penerbitan itu nanti....
Terdapat satu sumber menyatakan kos perjalanan ini berjumlah RM1,000 termasuk sewaan bot yang boleh memuatkan 15 orang penumpang.
daudmontakzakaria
No comments:
Post a Comment