Monday, March 19, 2012

Catatan Perjalanan Di Kota Bharu Kelantan Mac 2012

...peserta bengkel semasa sesi ceramah..

Semalam iaitu kira jam 1 pagi lebih aku sampai rumah setelah 3 hari berada di sekitar Kota Bharu Kelantan kerana membuat rakaman video bengkel foto di sana. Hari ini aku cuti kerana letih sesangat dan ingin menyiapkan skrip video berkenaan (dah siap dah punnn...).
Aku ke Kota Bharu dengan dua orang lagi staf unit aku iaitu sdr. SHAHRUL FADLI & JASRIL AMRY (HANAMICHI). Kami bercadang untuk menerbitkan 2 buah penerbitan yang akan di YOUTUBE kan tak lama lagi. Aku fokus kepada bengkel foto sementara SDR. SHAHRUL & HANAMICHI akan fokus kepada seni budaya di KELANTAN.
Sebenarnya aku mempunyai satu peristiwa yang mungkin menggelitek hati aku sendiri kalau tidak menggeletek hati orang lain... iaitu semasa aku sedang merakam seorang penenun yang sedang menenun KAIN SONGKET. Setelah siap rakaman baru aku 'terperasan' di 'background' penenun tu terdapat beberapa helai coli lusuh pelbagai saiz tergantung di tempat sidaian betul-betul dibelakangnya. Mau tak mau aku terpaksa buat sekali lagi rakaman tersebut. Jadi ingatlah para 'videographer' hati2 dengan subjek-subjek yang menghiasi 'background' rakaman kita. Bagi kaum hawa pulak hati2 ler, jangan secara mudah menyidai 'penutup' hiasan tu di mana-mana jer...


Di Bandar Kota Bharu kami menginap di sebuah resort yang baru dibina dan masih tidak siap sempurna lagi berhampiran Pantai Cahaya Bulan. Kami merupakan di antara kumpulan pertama yang 'merasmikan' resort tu.

...baru sampai...

Selama beberapa hari kat sana tu, agak seronok juga melihat tempat orang lain. Kali pertama aku tiba di Kelantan lama dulu dah..... Masa itu kami membuat rakaman seni budaya di sana untuk projek pelajar ukm.

...cantik waktu pagi...
SKRIP VIDEO YANG DAH AKU SIAPKAN...

Apa makna fotografi? (dlm bentuk grafik & sound effect)

subjek 1 - Fotografi ialah seni.

subjek 2 - Fotografi ialah sains

subjek 3 - Fotografi ialah melukis dengan cahaya

subjek 4 - Fotografi ialah satu perkara yang membuang masa....jika kita tidak mempunyai minat

Begitulah beberapa perkara berkaitan seni fotografi. Walau bagaimanapun pandangan mereka, pencinta atau peminat seni fotografi semangkin meningkat dikalangan orang ramai khususnya kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia. Hal ini boleh dilihat melalui peningkatan jumlah peserta yang memohon untuk menyertai bengkel foto yang dianjurkan oleh UNIT LATIHAN, BAHAGIAN SUMBER MANUSIA, JABATAN PENDAFTAR UKM.

...cantik kan...

Pada kali ini iaitu dari 15 hingga 18 MAC 2012, Bengkel Foto telah dijalankan di Bandar Kota Bharu Kelantan. Bandar Kota Bharu telah dipilih kerana beberapa ciri yang dimiliki olehnya.

Bandar Kota Bharu Kelantan mempunyai keluasan kira-kira 200 Kilometer persegi dengan jumlah penduduk lebih kurang 450 ribu orang. Perkembangan bandar ini bermula dalam tahun 1844. Banyak lokasi menarik yang wujud di sekitar bandaraya berkenaan. Bandar ini juga telah menjadi pilihan untuk bengkel fotografi kerana ia kaya dengan warisan seni budaya yang tentu sekali akan menjadi subjek penting untuk dirakam oleh peserta bengkel.

Sepanjang berada di Kota Bharu para peserta bengkel telah mengambil peluang merakamkan pelbagai subjek-subjek yang menarik di sekitar bandar tersebut....Segala mercu tanda di sekitar bandar berkenaan telah diabadikan oleh lensa kamera mereka.

Pasar Siti Khadijah merupakan pasar yang terkenal di Bandar Kota Bharu ini. Segala barangan boleh ditemui di pasar ini. Pasar ini mempunyai 4 tingkat iaitu tingkat bawah menjual barangan basah, tingkat satu menjual barangan kering dan tingkat 2 dan 3 menjual barangan bukan makanan.

...resort...

Kesibukan aktiviti perniagaan di pasar ini tidak dilepaskan oleh peserta bengkel untuk dirakam. Segala subjek dicari dan segala sudut di segenap pasar ini diamati.

Uniknya pasar Siti Khadijah ini ialah kebanyakan peniaga yang berniaga di sini terdiri daripada kaum wanita. Satu lagi, ialah setiap kali masuk waktu solat aktiviti perniagaan dihentikan buat seketika.

Kelihatan para peniaga di sini sibuk melayan pelanggan mereka. Aktiviti perpindahan wang dan barang-barang dari tangan ke tangan sentiasa berlaku tanpa henti umpama ia menjadi denyut nadi pasar tersebut.


...Kota Bharu...

Di sudut mana sekalipun di pasar ini, kelihatan peserta bengkel foto mengintai subjek untuk dirakam. Mereka sabar menunggu saat dan ketika untuk merakam sesuatu yang mempunyai nilai estetika dalam seni fotografi.

Para peniaga tidak menghiraukan kehadiran peserta bengkel, seolah-olah mereka telah memahami kehendak peserta bengkel yang sentiasa mengintai ketika yang sesuai untuk membuat rakaman. Aktiviti perniagaan bermula dari jam 6.00 pagi hingga 7 malam.

Selain Pasar Siti Khadijah yang sentiasa sibuk dan hidup dengan aktiviti perniagaan, sekitar bandar ini juga kaya dengan lokasi-lokasi menarik untuk dikunjungi. Di antara tempat-tempat tersebut ialah Istana Balai Besar, Istana Jahar, pusat beli belah, pusat kraftangan dan sebagainya.

Mungkin ramai pelancong yang datang dari luar Kelantan jika dilihat daripada kenderaan-kenderaan yang diletakkan ditempat-tempat letak kereta di sekitar kawasan ini. Pelawat juga kelihatan di mana-mana sahaja di lokasi menarik sekitar bandaraya ini. Mereka sentiasa mengabadikan kunjungan mereka ke sini untuk dijadikan kenangan setelah meninggalkan bandaraya ini. Segala informasi yang diperlukan boleh didapati melalui Pusat Informasi Pelancongan di sini.

...kota bharu...

Di Pantai Cahaya Bulan yang satu ketika dulu dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi, juga terdapat ramai juga pengunjung. Mereka mungkin berkunjung ke pantai berkenaan dengan pelbagai tujuan. Diantara kemungkinan kehadiran mereka di pantai ini adalah ingin melihat keindahan permandangan di sini.

Mungkin mereka juga ingin merasai tiupan bayunya yang nyaman atau ingin mendengar deruan ombak yang sentiasa patuh kepada kuasa pencipta yang sentiasa berlumba-lumba, berkejaran menghempas ke pantai.

Peserta bengkel tidak melepaskan peluang untuk merakamkan segala aktiviti yang terdapat di pantai ini. Aktiviti perniagaan juga rancak berjalan di pesisir pantai ini. Setelah penat mencari dan merakam subjek, peserta mengambil peluang berehat sambil menjamu selera dan membasahkan tekak yang kering dalam tiupan bayu Laut China Selatan. Daya kreativiti boleh tercetus di mana-mana dan pada bila-bila masa. Idea yang tercipta ini memang sepatutnya tidak dipersiakan dan sewajarnya diabadikan di kamera masing-masing.


....wah! asyik...lapar ker...

Berikutnya para peserta bengkel mula bergerak untuk mengunjungi kediaman seorang pakar dalam membuat hulu dan sarung keris. Sebelum itu mereka mengambil kesempatan merakam foto di gerai-gerai yang menjual pakaian batik yang beraneka corak dan rata-rata kelihatan cantik.

Di kediaman pakar membuat hulu dan sarung keris berkenaan, peserta tidak membuang masa dan terus membuat rakaman segala hasil ciptaan seni Encik Rashidee Hussein yang dipamerkan. Pelbagai soalan juga diajukan kepada beliau dan semua soalan dilayan dengan senang hati oleh Encik Rashidee. Melalui perbualan tersebut maka dapatlah diketahui bahawa beliau telah menceburi bidang berkenaan lebih daripada 20 tahun. Kepakarannya telah diwarisi daripada ayahnya. Sebenarnya tidak terdapat bukti khusus bila Keris dicipta. Menurut tulisan Stanfords Raffles, arca keris terdapat disebuah candi bertarikh 1361 di Jawa. Terdapat juga pendangan mengatakan keris Majapahit telah dicipta pada kurun ke 7. Menurut Encik Rashidee lagi pemilihan kayu untuk membuat sarung dan hulu Keris dibuat dengan penuh teliti serta memerlukan masa yang panjang.

...tempat buat keris..

Beliau juga pernah membuat sarung dan hulu Keris untuk seorang Sultan dengan bayaran ratusan ribu ringgit untuk tiga bilah Keris. Peserta bengkel banyak mendapat maklumat berkaitan Keris selama lebih kurang satu jam berada di kediaman En. Rashidee. Banyak juga subjek yang mereka rakamkan sepanjang masa mereka meluangkan masa berbual mesra dengan Encik Rashidee.

Sekitar Kota Bharu juga kaya dengan warisan seni yang lain. Pada waktu malam peserta bengkel telah menonton persembahan wayang Kulit di Kompleks Budaya sambil membuat rakaman foto persembahan seni tersebut. Persembahan Wayang Kulit berkenaan berlangsung selama kira-kira 2 jam.

Di sekitar Bandar Kota Bharu juga terdapat tempat membuat pelbagai jenis keropok termasuk Keropok Lekor. Kesempatan diambil oleh peserta untuk merakam proses membuat keropok ketika mereka berkunjung di salah sebuah tempat perusahaan keropok berkenaan. Perusahaan membuat keropok lekor ini telah wujud sejak lebih 30 tahun yang lalu. Setiap peringkat proses membuat keropok telah dirakam oleh peserta. Ada yang tidak melepaskan peluang untuk merasa keenakan keropok yang terdapat di sini


...pembuat keris...

Seterusnya peserta bengkel bergerak ke Kampung Laut dengan menaiki bot untuk berkunjung ke rumah seorang pemain Wayang Kulit dan pembuat patung wayang Kulit.

Perjalanan dengan bot untuk menyemberangi sungai mengambil masa selama lebih kurang 20 minit. Kami selamat sampai ke destinasi yang ditujui.

Di rumah berkenaan, para peserta merakam pelbagai subjek serta berbual dan mengajukan beberapa soalan. Pak Jusoh juga membuat demontrasi permainan Wayang Kulit tersebut. Di Kota Bharu Pak Jusoh merupakan salah seorang yang terkenal dalam seni Wayang Kulit ini. Wayang Kulit merupakan sejenis hiburan pementasan bayang dari patung. Patung Wayang Kulit ini diperbuat daripada kulit lembu, kerbau atau kambing. Dikatakan juga Wayang Kulit Melayu Kelantan berasal dari Kemboja

Di Kampung Laut ini juga terdapat perusahaan membuat Serunding. Perusahaan ini telah wujud sejak lebih 30 tahun dan ia menghasilkan Serunding Daging, Ikan dan Ayam. Serunding ini juga telah mendapat pasaran yang luas di dalam negeri dan juga di luar Negara termasuk Ukrine. Proses membuat serunding ini mengambil masa selama lebih kurang empat hingga lima jam.

...pembuat kopok leko...

Di Kampung laut ini juga wujud perusahaan membuat dodol untuk jualan. Proses membuat dodol ini adalah dengan menggunakan mesin. Dengan menggunakan cara moden ini, dodol boleh disiapkan dalam masa tiga jam berbanding cara lama yang mengambil masa lebih kurang lima jam untuk disiapkan.

Dari Kampung Laut, peserta bengkel kembali semula ke Kota Bharu dengan bot yang sama untuk melawat di sebuah rumah yang menjalankan perniagaan membuat martabak yang dikenali sebagai Martabak Raja. Perjalanan dengan bot dikenakan bayaran tambang sebanyak satu ringgit untuk orang dewasa. Di rumah pembuat martabak ini peserta merakamkan apa saja yang mereka fikirkan mempunyai nilai seni disamping bertanyakan soalan-soalan kepada pengusaha perniagaan berkenaan. Menurut maklumat martabak tersebut boleh disimpan lama iaitu selama 4 bulan jika diletakkan dalam peti sejuk. Satu hari sejumlah lebih kurang 100 keping martabak dihasilkan yang dikenakan harga 13 ringgit sekeping. Martabak yang dihasilkan sentiasa habis dijual.

....bot di jeti...

Di Bandar Kota Bharu juga terdapat perusahaan menenun kain songket. Perusahaan ini juga telah bertapak agak lama. Menurut pekerja, selama 10 hari diperlukan untuk menyiapkan 2 meter kain songket ini.

...temubual pengusaha songket...

Terdapat sebuah galeri yang digunakan untuk mempamerkan pelbagai kain songket dan kain batik yang beraneka corak yang menarik dan pasti memukau pandangan mereka yang singgah di situ. Menurut pemilik perusahaan tersebut, harga kain songket yang termurah di situ ialah lebih seratus ringgit dan yang paling mahal ialah lebih kurang lima belas ribu ringgit harganya. Pasaran songket tempatan amat menggalakkan dan ada juga yang di eksport ke luar negara seperti Brunai.

Seterusnya peserta bengkel mengambil peluang menonton Dikir Barat di Pusat Kebudayaan di Kota Bharu. Mereka merakam segala yang terdapat di pentas dan juga dikalangan penonton. Persembahan Dikir Barat tersebut berakhir lebih kurang jam 11.00 malam. Dikir Barat merupakan satu persembahan muzikal. Mengikut sejarah persembahan Dikir Barat dimainkan oleh kaum lelaki sahaja. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat juga persembahan yang disertai oleh kaum wanita.


...dikir barat...

Akhir sekali peserta bengkel foto melawat kediaman seorang pakar membuat wau. Di sini kelihatan beberapa buah wau yang cantik dalam pelbagai saiz. Terdapat beberapa jenis wau yang dikenali sebagai Wau Bulan, Wau Burung Puyuh, Wau Jalak Budi, Wau Rakaku, Wau Burung dan Wau Merak.

Harga sebuah wau yang bersaiz kecil ialah lima ratus ringgit yang boleh disiapkan dalam masa 2 minggu. Sementara wau yang besar yang mempunyai harga lebih dua ribu ringgit yang mampu disiapkan dalam masa sebulan.

...persembahan...

Setelah puas menjelajah ke sekitar bandar Kota Bharu serta merakamkan pelbagai subjek dan alam sekitarnya maka semua peserta membuat pilihan foto-foto yang tercantik untuk dipersembahkan dihujung bengkel berkenaan. Setiap peserta mempersembahkan rakaman foto masing-masing serta diberi komen oleh fasilitator.

....sup ekor sebelum balik ukm..

Apa yang diharapkan daripada setiap bengkel yang dijalankan ialah bengkel ini diharap mampu mencetuskan kekuatan dan menunaskan rasa minat yang mendalam dikalangan peserta untuk menjadi jurufoto yang berjaya di masa hadapan.



....wah............















SELAMAT TINGGAL KOTA BHARU KELANTAN.....
terima kasih kerana sudi membaca...


daudmontakzakaria

3 comments:

Lan Bingka said...

pukul 1 pagi kami masih tersadai di sempadan Gua Musang/Kuala Lipis.. waduh

daud.montak.zakaria said...

kesiannyer....turut simpati dengan musibah yang dialami itu....

daud.montak.zakaria said...

...tunggu aku akan 'upload' video ni ke YOUTUBE bila dah siap aku edit...la ni tengah edit...