Friday, February 29, 2008

HUTAN PENDIDIKAN ALAM, UKM


View Larger Map


28 Februari 2008; Krew Unit Audio Video telah membuat rakaman video penjelajahan Hutan Pendidikan Alam, Pusat Kokurikulum UKM. Kumpulan yang membuat penjelajahan berkenaan terdiri daripada kakitangan Pusat Penerbitan dan Percetakan, seorang kakitangan Pusat Kebudayaan UKM dan 2 orang pelajar(UITM & POLITEKNIK) yang sedang menjalani latihan amali di Pusat Penerbitan. UKM. Tujuan aktiviti tersebut adalah untuk membuat rakaman fotografi subjek-subjek yang wujud di hutan berkenaan. Kumpulan tersebut diketuai oleh seorang kakitangan Pusat Kokurikulum yang bertindak sebagai jurutunjuk. Kami mula memasuki rimba tersebut jam 9.00 pagi dan tamat lebih kurang jam 1.30 petang. Pelbagai subjek yang dapat dirakam sama ada dengan menggunakan kamera video dan juga kamera foto. Melalui trek yang telah kami lalui, antara subjek yang sempat di rakam ialah pokok2 balak, pokok-pokok yang telah mati, serangga-serangga, bunga-bunga hutan, anak sungai yang jernih airnya, anak-anak ikan yang bebas berenang ke sana sini dan juga seekor lintah yang kelihatan amat lapar, mungkin sudah sekian lama tidak menghisap darah mangsanya.
Kehijauan hutan berkenaan amat menyejukkan mata yang memandang. Akar-akar yang berselirat dan banir-banir pokok yang membentuk pelbagai rupa seolah-olah seperti sebuah galeri yang amat luas yang meminta pengunjung hutan membuat tafsiran sendiri. Perjalanan mendaki dan menuruni bukit walaupun amat meletihkan tetapi berasa puas kerana dapat menikmati pemandangan hutan yang jarang boleh dialami setiap masa. Kali terakhir saya memasuki hutan tersebut ialah lebih kurang 10 tahun yang lalu.