Tuesday, March 26, 2013

Ulu Selangor...

HARI ini, 26 Mac 2013, dapat siapkan suntingan video Ulu Selangor
yang telah diusahakan sejak minggu lepas lagi......da aku 
masukkan ke YouTube jugak.....


SKRIP ULU SELANGOR;

Daerah Hulu Selangor mempunyai sempadan dengan Perak dan Pahang. Ia mempunyai keluasan 174,047 hektar. Jumlah penduduknya lebih daripada 100,000 ribu orang. Bandar utama daerah ini ialah Kuala Kubu Baru. Selain daripada pekan dan bandar yang dipenuhi hutan batu, Hulu Selangor juga kaya dengan keindahan alam semulajdi ciptaan Tuhan.

Di sekitar Hulu Selangor terdapat beberapa lokasi yang menarik untuk dikunjungi oleh mereka yang berminat dengan keindahan alam.

Dari Kuala Lumpur melalui Jalan Sungai Tua, sebelum masuk ke daerah Hulu Selangor, pengunjung akan temui sebuah empangan yang dikenali sebagai Empangan Batu. Empangan ini dikelilingi oleh bukit bukau. Pinggir empangan ini sering menjadi lokasi persinggahan mereka yang melalui Jalan Sungai Tua ini.

Empangan Batu yang dibina semasa zaman Inggeris ini, mempunyai keluasan 775 hektar. Ia menampung air dari Sungai Batu, Sungai Tua dan Sungai Bisol.

Pemandangan di sekitar empangan ini agak menarik, sesuai dijadikan lokasi bersiar-siar untuk melapangkan fikiran. Tempat rehat disediakan untuk mereka yang ingin berehat sambil menikmati permandangan indah di sini.

Empangan Batu ini telah menjadi lokasi peserta bengkel fotografi university kebangsaan Malaysia untuk menjana idea

 dan menggilap kepakaran masing-masing. Subjek-subjek di persekitaran menjadi tumpuan lensa kamera mereka.

Mereka tidak henti-henti mencari subjek serta menilik sudut-sudut indah di empangan ini.

Tidak terkecuali, pinggir empangan ini menjadi lokasi menarik untuk mengabadikan detik-detik indah yang mungkin tidak akan berulang kembali. Detik ini akan menjadi kenangan indah untuk ditatap kembali bersama mereka yang tersayang di masa yang mendatang.

Empangan ini juga menjadi tumpuan kaki pancing yang mencuba nasib dengan berbekalkan umpan sebagai habuan si ikan.

Tumbuhan menghijau di sekitar empangan batu, menyejukkan mata yang memandang. Bayang-bayang pinggir empangan yang terlakar di air, kelihatan indah.

Di sekitar Ulu Yam, Hulu Selangor juga terdapat lebih kurang empat buah lokasi air terjun. Salah sebuah lokasi air terjun tersebut ialah terletak di Hutan Lipur Sungai Sendat. Hutan lipur ini terletak lebih kurang 70 kilometer dari Bandaraya Kuala lumpur.

Untuk masuk ke hutan lipur Sungai Sendat ini, pengunjung dikenakan bayaran. Pengunjung akan dikenakan bayaran tambahan jika membawa kamera. Air terjun Sugai sendat ini mempunyai tiga tingkat. Ketiga-tiga tingkat mempunyai keluasan dan kedalaman yang berbeza. Ketiga-tiga tingkat air terjun ini sesuai untuk mandi –manda. 

Air terjun tingkat yang kedua dan ketiga adalah tidak sesuai untuk kanak kerana untuk tiba di sana perlu mendaki laluan curan yang agak bahaya untuk kanak-kanak.
Air terjun hutan lipur ini sememangnya terkenal dikalangan para pengunjung. Air terjun ini sering dikunjungi oleh pengunjung untuk berkelah dan mandi manda.

Air sungai yang mengalir sungguh jernih hingga menampakkan dasar sungai berkenaan. Deruan air terjun serta bunyi air yang mengalir di celah-celah batu yang besar ini seolah-olah seperti alunan melodi yang mendamaikan mendamaikan hati sesiapa saja yang berkunjung ke sini.

Dengan persekitaran yang menghijau serta aliran sungai yang dingin airnya tentu mampu melupakan seketika kekusutan fikiran.

Hutan lipur ini kelihatan indah dan cantik pada waktu pagi ketika cahaya mentari menerjah ke bumi melalui celahan pokok-pokok merimbun di hutan tersebut.

Hutan lipur Sungai Sendat ini juga kaya dengan kepelbagaian spesis flora dan fauna. Dikatakan wujud lebih daripada 2000 spesis pokok di hutan ini. Hutan ini juga dihuni oleh 200 spesis mamalia, 600 spesis burung dan pelbagai jenis serangga.
Dalam hutan lipur ini tumbuhan, haiwan serta serangga hidup dalam keadaan yang harmoni saling bergantung di antara satu dengan lain dalam ekosistem yang teratur.
Wakaf-wakaf juga turut dibina di sini untuk kemudahan para pengunjung yang tidak putus-putus berkunjung ke sini.
Kicauan unggas yang menjadi penghuni di sini melengkapkan keindahan hutan lipur berkenaan.

Sebuah lokasi lain yang tidak kurang menariknya ialah Hutan Lipur Sungai Tua. Jaraknya dari Kuala Lumpur ialah kira-kira 23 kilometer. Hutan Lipur ini boleh dimasuki melalui jalan Sungai Tua. Seperti Hutan Lipor Sungai Sendat, hutan lipur ini juga terdapat sebatang sungai yang merentasinya.

Memanglah sungai-sungai di hutan – hutan tidak dapat dipisahkan dengan batu-batu besar dan jeram-jeram yang terbentuk.

Kesibukan seharian dalam mengharungi kehidupan boleh dilupakan seketika apabila berada dalam suasana nyaman di hutan lipur ini. Hutan lipur ini disediakan dengan kemudahan untuk berkelah, berkhemah, trekking dan sebagainya.

Hutan Lipur sungai Tua ini juga kaya dengan pelbagai spesis pokok-pokok balak yang besar disamping tumbuhan rendah yang lain. Bunga-bunga liar juga turut mengindahkan lagi hutan ini.

Di pinggir Jalan Sungai Tua menuju ke Ulu Yam wujud sumber mata air yang kaya dengan mineral semula jadi. Penduduk setempat percaya air dari sumber mata air yang berasal dari bukit di sini dikatakan mempunyai khasiat untuk menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu dengan izin Tuhan. Perkara ini juga telah dikatakan oleh mereka yang datang untuk mengambil air sini. Agak ramai juga yang datang ke sini dan dikatakan ada ketikanya sukar untuk menunggu giliran untuk mendapatkan air di lokasi berkenaan.

Bagi pengunjung yang datang ke Hulu Selangor, kemudahan tempat untuk menginap bukan satu masalah yang besar.Terdapat beberapa buah pengusaha resort mampu menawarkan kemudahan penginapan yang selesa mengikut citarasa pelanggan.

Salah sebuah lokasi penginapan tersebut ialah di Nur Laman Bestari Eco-Resort. Tempat penginapannya selesa dengan harga yang berpatutan. Keadaan sekitarnya amat menarik serta terdapat sebatang anak sungai mengalir melaluinya.Lokasi eko-resort ini adalah berhampiran dengan sebuah bukit.

Walaupun pembangunan terus bergerak ke hadapan, namun masih banyak lagi kawasan-kawasan yang masih kaya dengan alam semula jadi yang dipelihara dengan sebaik-baiknya di hutan-hutan simpan yang terdapat di seluruh negara. Moga ia terus kekal untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang.

DAUD.montak.zakaria