Wednesday, May 6, 2009

Lata Jarum, sekali lagi kami datang....


Dari kiri; DAUD MZ, PROF. DR. JUMAAT ADAM, RAMLI ADNAN,
EN. MOHD SHUKORI & di belakang , EN. ALI IMRAN.

Pelajar pasca-siswazah Fakulti Sains dan Teknologi UKM

Pakma belum berkembang

sungai di tengah rimba

Inilah Bunga Pakma 6 kelopak yang dijumpai
di Lata Jarum, Raub, Pahang.

Pakma?. Oooooooooooo....Rafflesia...

Hari ini, kami yakni aku dan sdr. Ramli akan berkunjung lagi ke Lata Jarum, Raub, Pahang. Tujuan kami berkunjung ke lata berkenaan adalah sama seperti kunjungan kami sebelum ini iaitu membuat rakaman video Bunga Pakma atau Rafflesia iaitu bunga yang terbesar di dunia dan sedang berkembang dikala ini di lata tersebut. Apakah keistimewaan Bunga Pakma kali ini?


Jam 8.00 pagi, 6 Mei 2009 kami mula bergerak dari bangunan Pusat Penerbitan dengan menumpang kenderaan Encik Ali Imran, kakitangan Fakulti Sains dan Teknologi, UKM. Seterusnya kami menuju ke rumah Prof. Dr. Jumaat Adam yang kami panggil PROF. J di Bandar Baru Bangi. Setelah mengambil Prof. J, kami meneruskan bergerak menuju Hutan Lipur Lata Jarum, Raub, Pahang.


Sebelum kami melepasi bandar Raub, kami singgah di sebuah medan selera untuk mengisi perut kami yang kosong sejak pagi lagi. Di situ jarum jam hampir menunjuk angka sebelas pagi. Selesai makan dan bersembang hal-hal semasa, kami pun meneruskan perjalanan dan sebelum tiba di Hulu Dong, kami berjumpa dengan Encik Mohd. Shukori, Ketua Unit Renjer Hutan yang berpejabat di Hutan Lipur Lata Jarum. Perjumpaan tersebut sebenarnya secara kebetulan yang dirancang.



Tiba disebuah gerai kami semua singgah untuk minum serta berbual santai di situ buat seketika. Seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju Hutan Lipur Lata Jarum bersama Encik Mohd. Shukori. Kami berehat sebentar di situ sementara menunggu 5 orang pelajar pasca siswazah FST yang akan turut serta dalam kunjungan untuk melihat Bunga Pakma itu. Seketika kemudian mereka pun tiba dengan menaiki sebuah kereta proton Waja.


Selepas berehat sebentar di pejabat En. Shukori, maka kami pun bersedia untuk memasuki hutan lipur berkenaan dengan dipandu oleh En. Mohd. Shukori sendiri. Segala keperluan yang hendak dibawa telah disiapkan. Bagi kami, tentulah kamera video, lampu, tripod serta bateri. Kumpulan pertama yang terdiri daripada Prof. J serta pelajar perempuan atau wanita?, terlebih dahulu dibawa dengan jeep oleh En. Mohd. Shukori untuk memasuki hutan tempat memulakan perjalanan.


Giliran kami tiba selepas itu...
Seperti biasa perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda menuju ke lokasi berkenaan bukanlah mudah. Kami seperti berada dalam sebuah kenderaan rally merentasi hutan dengan permukaan tanah yang penuh dengan lubang dan permukaan tanah yang tidak rata. Persis seperti yang kita sering lihat di kaca tv. Akhirnya tiba juga kami di lokasi berkenaan setelah puas di ambung-lambung oleh jeep En. mohd. Shukori.


Setelah semua berkumpul, maka perjalanan memasuki hutan pun dimulakan.
Perjalanan meredah dan mendaki, menyelit di celah-celah batu serta merentas anak-anak sungai memang memerlukan tenaga serta mesti berhati-hati. Sambil merentas hutan, apa saja yang terlintas untuk dirakam, akan aku rakamkan. Aku secara bergilir-gilir membuat rakaman berkenaan. dengan sdr. Ramli. Tidak kira batang pokok, daunan, flora, akar-akar serta aliran anak sungai, semuanya kami rakam.


Akhirnya kami tiba di lokasi sekuntum Bunga Pakma yang sedang berkembang yang menjadi tugas utama kami untuk dirakam. Sebelum kami mula membuat rakaman kami meminta sesiapa yang hendak merakam bunga berkenaan dengan kamera foto, mereka boleh merakamkannya sebelum kami pula menjalankan tugas kami.
Setelah selesai tugas mereka, kami pula mengambil giliran untuk membuat rakaman. Selepas perbincangan ringkas secara spontan dibuat dengan Prof. J, maka kami pun memulakan tugas kami. Kami membuat rakaman ketika Prof. J memberi penjelasan tentang bunga berkenaan.


Bunga Pakma kali ini merupakan Pakma yang istimewa kerana ia mempunyai 6 kelopak. Menurut En. Mohd. Shukori, inilah kali pertama beliau menemui Pakma dengan 6 kelopak di Hutan Lipur Lata Jarum, Raub, Pahang ini. Disebabkan cahaya agak suram kerana dilindungi daun-daunan pokok di ataskepala kami, kami pun terpaksa menggunakan lampu yang kami bawa bersama. Imej akan bertambah jelas dan lebih menarik jika ia disinari cahaya. Selesai rakaman, bunga Pakma tersebut telah diambil dengan hati-hati untuk dibuat kajian.Seterusnya kami bergerak pula ke satu lagi lokasi untuk membuat rakaman bunga Pakma yang telah menjadi kehitaman kerana telah layu.


Sama seperti sebelum ini, setelah selesai kami pun bergerak keluar dari hutan tersebut. Kami telah berada di hutan itu sejak dari jam lebih kurang 3.00 petang waktu tempatan dan keluar lebih kurang jam 6.o0 petang. Esok, yakni pada 7 Mei 2009 pula kami akan menyambung rakaman di lokasi yang lain pula.