Pakma atau rafflesia merupakan bunga yang terbesar di dunia. Bunga ini dikatakan hanya wujud di Malaysia, pulau Borneo, Brunai, Filipina dan Thailand. Bunga ini merupakan tumbuhan parasit yang hanya tumbuh pada perumah yang merupakan tumbuhan anggur hutan iaitu Tetrastigma. Ia mengambil masa sembilan bulan dari peringkat tunas hinggalah berkembang.
Melalui bunga Pakma ini juga kami dari Unit Audio Video, Penerbit UKM mengenali Prof. Dr. Jumaat Adam yang kami panggil Prof. J, dari Sains Sekitaran, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.
Cik Suraya sedang merakamkan Bunga Pakma semasa dalam Makmal di FST, UKM di Bangi.
Kami seringkali dipanggil untuk membuat rakaman video setiap kali terdapat bunga Pakma yang sedang berkembang di Hutan Lipur Lata Jarum, Ulu Dong, Raub, Pahang. Agak kerap juga kami(aku dan Sdr. Ramli) pergi ke Lata Jarum, Raub, Pahang untuk membuat rakaman video kumtuman Pakma yang sedang mekar berkembang. Namun ada ketikanya bunga yang kami rakamkan belum lagi berkembang sepenuhnya.
Kami kerapkali meredah Hutan Lipur Lata Jarum bersama Prof. J(Prof. Dr. Jumaat Adam), Encik Shukori, seorang Pegawai Renjer Perhutanan, Encik Ali Imran, kakitangan FST dan ada ketikanya bersama Encik Basri, pembantu Encik Shukori. Dalam masa membuat rakaman Bunga Pakma, kami(Aku, sdr. Ramli dan ada ketikanya bersama Cik Suraya) sempat juga merakamkan flora dan fauna yang wujud di Hutan Lipur Lata Jarum berkenaan.
Banyak juga pengalaman sepanjang kami berkunjung dan meredah hutan lipur berkenaan. Semestinyalah kepenatan merupakan pengalaman yang biasa kami alami semasa mendaki dan menuruni tanah tinggi dan lembah. Tidak dilupakan juga kami pernah di serang penyengat ketika membuat rakaman dimana sdr. ramli kena dua sengatan. Masalah pacat-pacat yang mengukur jarak di dalam hutan juga merupakan perkara biasa. Parut gigitan pacat kekal sebagai tatoo yang agak lama juga di kulit tubuh kami. Ada juga berlaku kamera video tidak boleh berfungsi ketika hendak merakamkan sekuntum kembangan hutan...tetapi bila saja keluar hutan kamera tersebut berfungsi seperti biasa.
Setiap rakaman yang telah kami buat telah digunakan dalam penyuntingan video untuk tayangan dan juga simpanan arkib kami diantaranya Menjejak Pakma Lata Jarum, Pakma Lata Jarum dan Lawatan Naib Canselor ke Lata Jarum. Kami juga merakamkan aktiviti penyelidik ketika di hutan lata Jarum seperti mengenal pasti jantina Pakma, cubaan menyemai benih Pakma serta juga mengambil sampel-sampel tumbuhan di hutan berkenaan. Kami juga membuat rakaman di beberapa lokasi ketika di Ulu Dong seperti Lata Berembun dan Sungai Kenau. Semua rakaman berkenaan adalah berkaitan Bunga Pakma.
Sepanjang kami membuat rakaman di Hutan Lipur Lata Jarum, kami tidak mengalami sebarang masalah berkaitan hutan dan juga hubungan kemanusiaan diantara kami dengan setiap individu yang lain yang kami temui. Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
daud montak zakaria...
No comments:
Post a Comment