Showing posts with label bunga pakma. Show all posts
Showing posts with label bunga pakma. Show all posts

Thursday, May 7, 2009

Menjejak Rafflesia di Lata Berembun, Raub, Pahang

Di tempat Bunga Pakma








Hutan Lipur Lata Berembun









Sdr. Ramli Adnan

Hari ini 7 Mei 2009, hari Khamis.
Semalam aku sukar untuk tidur walaupun keletihan kerana mendaki serta menuruni bukit sepanjang hari di Lata Jarum untuk merakam Bunga Pakma. Aku cuma dapat melelapkan mata lebih kurang jam 2.00 pagi dan terbangun semula secara tak sengaja pada jam 5.00 pagi dan selepas itu mata tak dapat lelap hingga ke siang.



Pagi ini kami merancang untuk ke suatu tempat di mana terdapat Bunga Pakma,menurut kata En. Shukori, Pegawai Renjer Perhutanan itu. Encik Shukori menjumpai lokasi berkenaan hasil dari maklumat penduduk kampung berkenaan. Prof. J, apabila mendengar sahaja hal demikian memanglah amat teruja untuk pergi ke sana. Kami akan di bawa oleh En. Shukori dengan menaiki jeep 4WD nya. Lebih kurang jam 8.00 pagi kami sudah bersedia dengan peralatan yang perlu. Namun kelima-lima pelajar pasca siswazah tidak ikut serta kerana semalam mereka telah kembali ke UKM kerana ada 'presentation', itu sahaja ungkapan yang aku dengar. Aku tidak ingin untuk mengetahui lebih lanjut kerana aku tak suka 'jaga tepi kain atau tepi seluar orang lain'.



Selepas siap semuanya, aku, sdr. Ramli, Prof. J, Ali dan En. Shukori pun mulalah bergerak. Lokasi yang utama tentulah gerai minuman kerana waktu ni memang waktu yang sesuai untuk mengisi perut kami dengan sarapan pagi. Oleh itu kami singgah di gerai kebiasaan kami yang mungkin boleh dikatakan mempunyai daya tarikan tersendiri. Selepas menghirup minuman pagi dan menjamah sarapan, kami pun mula bergerak. Encik Shukori memandu jeep pacuan 4 rodanya memasuki satu lorong ke satu lorong kerana tersesat. Namun akhirnya kami sampai di lokasi untuk mula berjalan dengan kaki pulak. Jauh juga jaraknya dari Lata Jarum, mungkin berkotak-kotak rokok bagi golongan yang merokok, barulah boleh sampai ke sini. Itu pun kalau tak meninggal dek kanser.



Setelah mendaki tanah agak tinggi dan menuruni cerun yang tak berapa curam kami pun sampai di satu tempat dan kami semua keluar dari jeep. Visual pertama yang kami rakam dengan video ialah Bunga Kantan berhampiran jeep berhenti. Cantik juga bunga kantan yang bewarna merah, eh! ia kah merah, aku pun tak pasti. Selesai merakam bunga kantan dan ladang bunga kantan tersebut kami berdua pun bergerak menuju lokasi Prof. J, Ali dan En. Shukori yang sedang setia menunggu di situ sejak tadi.




Mulanya kami memasuki suatu kebun yang ditanam dengan pokok-pokok langsat. Selepas kami merentas anak sungai yang kecil, kami berjumpa pulak dengan tanaman pokok getah yang kelihatan sudah ditoreh. Seterusnya merentas semak samun pokok paku pakis yang berkilat daunnya dipanah cahaya matahari. Kemudian merentasi lagi anak sungai yang di dalamnya terdapat anak-anak ikan dan air sungai tersebut amat jernih dan dingin sekali. Kemudian kami melalui jambatan kecil dan masuk kembali ke hutan serta mandaki lereng bukit kecil, melalui celah-celah batu dan celah-celah pokok serta laluan tanah yang kalau silap perhitungan akan tergolek ke kaki bukit, kalau tak ajal pun, mungkin akan di sergah ular dengan mulutnya tenganga luas serta taringnya yang bisa.. Mendaki, menuruni, mendaki...ermmm...barulah kami sampai di lokasi Pakma oh! Rafflesia itu. Di situ En. Shukori dan Prof J. mencari Bunga Pakma dan merakam dengan kamera foto. Sementara kami yang agak keletihan berehat sebentar menghilangkan lelah kerana mendaki. Kami juga minum air yang di bawa untuk membasahkan tekak kami yang sangat kering. Agak jauh juga kami berjalan.




Kemudian tugas kami ialah merakam beberapa Bunga Pakma sama ada di tanah dan yang melekat di akar di atas pokok. Kami membuat banyak rakaman di sini. Lama juga kami di sini. Penjelasan diberikan oleh Prof. J dan En. Shukori semasa kami membuat rakaman. Kami juga membuat rakaman selepas Bunga Pakma dibelah dua untuk melihat bahagian dalamnya. Hmmmm...cantik sungguh bahagian dalam Bunga Pakma ibarat satu lukisan pada pandangan aku. Selesai sahaja kami membuat rakaman dan Prof. J menyelesaikan tugasnya, kami pun bergerak keluar hutan, ermmm....meredah lagi nampaknya. Dalam perjalanan keluar, aku sempat juga merakam beberapa imej yang aku agak aku berminat merakamnya sama ada dengan kamera video atau foto yang aku bawa bersama.



Selepas makan tengah hari, En. Shukori membawa kami ke satu lokasi yang terdapat Bunga Pakma iaitu Hutan Lipur Lata Berembun. Lokasi ini agak jauh, sakitlah juga kaki dan bahagian bawah badan serta sebagainya kerana lama duduk dalam jeep serta jalan masuk untuk sampai ke lokasi berkenaan tidak boleh di lalui oleh kereta. Kenderaan yang boleh masuk ke Hutan Lipur Berembun itu cuma jeep 4 way drive sahaja. Kalau kenderaan lain, jangan harap nak sampai ke sana. Bukan saja jalannya berlobang-lobang dan sangat tidak rata tetapi juga ia melalui lereng bukit yang di bawahnya terdapat gaung-gaung yang dalam dan kalau jatuh dah tentulah berpindah ke alam lain jika itu takdirnya.



Tiba di Hutan Lipur Lata Berembun, aku pun mula membuat rakaman aliran air sungai yang jernih yang di dalamnya terdapat batu-batu besar yang pelbagai saiz. Aku juga merakam air terjun yang tinggi dan cantik di situ. Jernih sungguh airnya. Sempat juga aku menghirup airnya yang dingin dan jernih itu. Hmmmm....dingin sungguh tekak aku apabila dilalui oleh air dingin Lata Berembun itu. Bila kita berada hampir dengan air terjun tersebut, badan kita berasa dingin kerana tempias dari air terjun tersebut akan terkena kepada kita. Sementara itu Ali Imran, Prof. J dan En. Shukori merkam keindahan di situ dengan kamera foto masing-masing. Aku serahkan kamera video kepada sdr. Ramli. Dia merakam beberapa pemandangan dn sebagainya disitu terutama air terjun yang cantik tersebut. Aku pula sempat merakam situasi disekitar dengan kamera handphone aku kerana kemera foto digital aku telah kehabisan bateri. Lama juga kami di sana sebelum beredar. Di kawasan Lata Berembun ini sdr. Ramli telah disengat oleh lebah dan aku pula cuma nyaris sahaja. Banyak sangat lebah di situ, mungkin sarangnya ada berdekatan tempat berkenaan.



Perjalanan pulang, kami terpaksa juga melalui jalan yang sama, yang penuh dengan batu-batu besar, tidak rata, banyak lubang-lubang dan banyak juga gaung-gaung menunggu di bawah. Apa boleh buat kerana itu saja satu-satunya jalan yang ada. Hutan lipur berkenaan hanya boleh di kunjungi oleh mereka yang memiliki atau menaiki 4 way drive sahaja kerana faktor jalan penghubung yang disengajakan dibuat begitu oleh penduduk yang memiliki kenderaan pacuan 4 roda.



Kami tiba di Lata Jarum kembali lebih kurang jam hampir 7.00 malam. Kami mandi di Lata Jarum, hmmm...amat dingin airnya, semua yang ada ditubuh mugkin menjadi kecut...keh...keh...keh...Lebih kurang jam 9.00 malam kami pulang ke UKM selepas makan makanan malam yang enak pada pendapat aku dimana salah satu masakannya di panggil 'Steam Asam' atau "Steam Limau' tak pasti aku mana yang betul. Sampai UKM hampir jam 12.00 malam, malam Jumaat pulak tu.....Mungkin malam ini untuk Prof. Dr. Jumaat kut...

* foto-foto yang lain terdapat dalam galeri foto.

Wednesday, May 6, 2009

Lata Jarum, sekali lagi kami datang....


Dari kiri; DAUD MZ, PROF. DR. JUMAAT ADAM, RAMLI ADNAN,
EN. MOHD SHUKORI & di belakang , EN. ALI IMRAN.

Pelajar pasca-siswazah Fakulti Sains dan Teknologi UKM

Pakma belum berkembang

sungai di tengah rimba

Inilah Bunga Pakma 6 kelopak yang dijumpai
di Lata Jarum, Raub, Pahang.

Pakma?. Oooooooooooo....Rafflesia...

Hari ini, kami yakni aku dan sdr. Ramli akan berkunjung lagi ke Lata Jarum, Raub, Pahang. Tujuan kami berkunjung ke lata berkenaan adalah sama seperti kunjungan kami sebelum ini iaitu membuat rakaman video Bunga Pakma atau Rafflesia iaitu bunga yang terbesar di dunia dan sedang berkembang dikala ini di lata tersebut. Apakah keistimewaan Bunga Pakma kali ini?


Jam 8.00 pagi, 6 Mei 2009 kami mula bergerak dari bangunan Pusat Penerbitan dengan menumpang kenderaan Encik Ali Imran, kakitangan Fakulti Sains dan Teknologi, UKM. Seterusnya kami menuju ke rumah Prof. Dr. Jumaat Adam yang kami panggil PROF. J di Bandar Baru Bangi. Setelah mengambil Prof. J, kami meneruskan bergerak menuju Hutan Lipur Lata Jarum, Raub, Pahang.


Sebelum kami melepasi bandar Raub, kami singgah di sebuah medan selera untuk mengisi perut kami yang kosong sejak pagi lagi. Di situ jarum jam hampir menunjuk angka sebelas pagi. Selesai makan dan bersembang hal-hal semasa, kami pun meneruskan perjalanan dan sebelum tiba di Hulu Dong, kami berjumpa dengan Encik Mohd. Shukori, Ketua Unit Renjer Hutan yang berpejabat di Hutan Lipur Lata Jarum. Perjumpaan tersebut sebenarnya secara kebetulan yang dirancang.



Tiba disebuah gerai kami semua singgah untuk minum serta berbual santai di situ buat seketika. Seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju Hutan Lipur Lata Jarum bersama Encik Mohd. Shukori. Kami berehat sebentar di situ sementara menunggu 5 orang pelajar pasca siswazah FST yang akan turut serta dalam kunjungan untuk melihat Bunga Pakma itu. Seketika kemudian mereka pun tiba dengan menaiki sebuah kereta proton Waja.


Selepas berehat sebentar di pejabat En. Shukori, maka kami pun bersedia untuk memasuki hutan lipur berkenaan dengan dipandu oleh En. Mohd. Shukori sendiri. Segala keperluan yang hendak dibawa telah disiapkan. Bagi kami, tentulah kamera video, lampu, tripod serta bateri. Kumpulan pertama yang terdiri daripada Prof. J serta pelajar perempuan atau wanita?, terlebih dahulu dibawa dengan jeep oleh En. Mohd. Shukori untuk memasuki hutan tempat memulakan perjalanan.


Giliran kami tiba selepas itu...
Seperti biasa perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda menuju ke lokasi berkenaan bukanlah mudah. Kami seperti berada dalam sebuah kenderaan rally merentasi hutan dengan permukaan tanah yang penuh dengan lubang dan permukaan tanah yang tidak rata. Persis seperti yang kita sering lihat di kaca tv. Akhirnya tiba juga kami di lokasi berkenaan setelah puas di ambung-lambung oleh jeep En. mohd. Shukori.


Setelah semua berkumpul, maka perjalanan memasuki hutan pun dimulakan.
Perjalanan meredah dan mendaki, menyelit di celah-celah batu serta merentas anak-anak sungai memang memerlukan tenaga serta mesti berhati-hati. Sambil merentas hutan, apa saja yang terlintas untuk dirakam, akan aku rakamkan. Aku secara bergilir-gilir membuat rakaman berkenaan. dengan sdr. Ramli. Tidak kira batang pokok, daunan, flora, akar-akar serta aliran anak sungai, semuanya kami rakam.


Akhirnya kami tiba di lokasi sekuntum Bunga Pakma yang sedang berkembang yang menjadi tugas utama kami untuk dirakam. Sebelum kami mula membuat rakaman kami meminta sesiapa yang hendak merakam bunga berkenaan dengan kamera foto, mereka boleh merakamkannya sebelum kami pula menjalankan tugas kami.
Setelah selesai tugas mereka, kami pula mengambil giliran untuk membuat rakaman. Selepas perbincangan ringkas secara spontan dibuat dengan Prof. J, maka kami pun memulakan tugas kami. Kami membuat rakaman ketika Prof. J memberi penjelasan tentang bunga berkenaan.


Bunga Pakma kali ini merupakan Pakma yang istimewa kerana ia mempunyai 6 kelopak. Menurut En. Mohd. Shukori, inilah kali pertama beliau menemui Pakma dengan 6 kelopak di Hutan Lipur Lata Jarum, Raub, Pahang ini. Disebabkan cahaya agak suram kerana dilindungi daun-daunan pokok di ataskepala kami, kami pun terpaksa menggunakan lampu yang kami bawa bersama. Imej akan bertambah jelas dan lebih menarik jika ia disinari cahaya. Selesai rakaman, bunga Pakma tersebut telah diambil dengan hati-hati untuk dibuat kajian.Seterusnya kami bergerak pula ke satu lagi lokasi untuk membuat rakaman bunga Pakma yang telah menjadi kehitaman kerana telah layu.


Sama seperti sebelum ini, setelah selesai kami pun bergerak keluar dari hutan tersebut. Kami telah berada di hutan itu sejak dari jam lebih kurang 3.00 petang waktu tempatan dan keluar lebih kurang jam 6.o0 petang. Esok, yakni pada 7 Mei 2009 pula kami akan menyambung rakaman di lokasi yang lain pula.