







DARI 12 - 16 APRIL 2012, 













Namun begitu sebahagian daripada kami akan kembali ke BANGI pada tengah malam SABTU kerana pada hari AHAD petang kami terlibat dengan raptai program PUSAT KOLABORASI DAN INOVASI yang memerlukan kami untuk membuat rakaman MCP pada hari ISNIN 16 APRIL 2012 di DECTAR. Majlis PERASMIAN dilaksanakan oleh MENTERI PENGAJIAN TINGGI di DECTAR. Nampaknya kami menjadi grup yang dicemburui oleh mana2 pihak dalam UKM, kami berada di luar pun diminta untuk membuat rakaman tersebut.....ermmmm... 










HARI ni aku nak citer perkara yang mungkin bukan berkaitan tugas harian aku........esok aku nak cuti...mungkin sebahagian dari anggota tubuh aku perlukan rehat sedikit...tapi SABTU MALAM dan AHAD MALAM aku kene keje sebab ada rakaman MCP di DECTAR...opst! lupa lak..k....kita teruskan ngan tulisan aku yang berikutnya....
LENS atau kanta merupakan alat pengumpul atau penyebar cahaya. Alat ini amat penting dan banyak digunakan dalam alatan seperti kamera, kamera video dan sebagainya. Pada kamera video kanta merupakan tempat imej masuk ke kamera dan diletakkan di CCD atau charge couple device yang merupakan satu ‘image sensor’. Jika takde kanta mustahil imej boleh dipancarkan ke CCD dan kamera video pun tak ujud.
Dikatakan kanta paling awal diperkatakan dalam tahun 424 SM yang disebut sebagai ‘gelas pembakar’. Ahli matematik Islam, Abu Ali al-Hassan (965 – 1038) menjelaskan lensa di mata manusia membentuk gambar di retina. * sumber Wikipedia.
Cuba bayangkan jika lens atau kanta tiada atau lens atau kanta terganggu, tentu sukar untuk membentuk imej sempurna di retina mata…bukan gitu…?
Sebenarnya tulisan di atas merupakan intro kepada tulisan aku yang berikutnya. Biasalah, orang ‘videogrpher’ mesti bijak membentuk ‘pembuka’ cerita….kan gitu…?
Yang aku nak citerkan ni ialah, hari ini merupakan hari yang ke-10 aku dihinggapi penyakit mata. Macam siksa jer rasenyer sakit mata ni. Sukar aku nak buat keje, namun keje kena buat gak, maklumlah pekerja rajin…ekekeke…
Semalam aku pi Darus Syifa’, ustaz kat sana bacakan ayat-ayat, kat mata aku, ALHAMDULILLAH, rasanya macam ada berkurang…gatal2 kat mata agak kurang...harap cepat sembuh...
Sebenarnya sebelum ni aku dah jumpa doctor kat klinik penal sebanyak 2 kali tapi macam tak mau berkurang penyakit tu…on off on off jer…. Doktor tu pulak satu hal..ermmm…nampaknya nak ngumpat ni…doctor lelaki yang aku jumpa tu doctor muda yang pendiam dan kurang peramah…aku tak suka buat andaian tapi nak buat gak…pada aku doctor tu macam sombong jer…senyum pun tidak….kalau dia senyumpun apa salahnya, bukan aku nak ngorat dia pun…opst! Lupa aku, doctor tu lelaki kan… 2 kali jumpa doctor yang sama, ke dua-dua kali tu, dia tak pernah sentuh aku pun, cek mata pun tak….aku rasa doctor tu dah silap pilih bidang kut….ewah-ewah pandai aku ngata orang kan…Pada aku doctor mesti banyak senyum, peramah, tutur kata mesti lembut dan kalau boleh ada ‘joking’ sikit2 terutamanya pada kanak2. Dengan senyuman dan sikap ramah mereka, boleh serba sedikit menyebabkan kesan penyakit yang menimpa pesakit mungkin boleh kurang, gamaknya….ni tak, mana nak layan sakit di badan, mana pulak nak layan sakit batin sebab sikap doktor tu...ermmm…o.k kita tinggalkan cerita doctor sombong tu….opst!.
Sebenarnya aku pernah kali pertama kena penyakit mata ni pada tahun lalu iaitu lebih 2 minggu kut…la ni kali kedua….pelik kan….Pelik kat aku, sebab aku tak pernah kena penyakit mata yang berskala lama macam ni…abis tinggi kalau kene pun 2 atau 3 hari jer…jadi ada ketikanya aku fikir gak, sama ada ia penyakit mata biasa atau penyakit mata luar biasa…?
Dalam masa sakit mata ni sempat gak dalam susah payah aku siapkan penyuntingan video aku. Dapat gak siapkan dua suntingan video iaitu ‘FOTOGRAFI DI KOTA BHARU’ dan ‘DIALOG ANTARA AGAMA’…..
Memang sukar membuat suntingan video dalam keadaan mata yang sakit. Mata perlu untuk melihat visual di skrin…kalau mata tak sihat, ia merupakan satu gangguan yang bukan kecik. Itulahhhh….bila sesuatu nikmat itu ditarik seketika, amat siksa rasanya kan….tapi tu lah, bila dah sihat, kita lupa kembali….Jadi, satu persoalah yang maha BESAR terpahat di fikiran aku….adakah sakit mata aku ni satu BALASAN DOSA atau PENGHAPUS DOSA atau UJIAN untuk aku?….aku pun tak dapat nak tentukan, hanya DIA yang MAHA TAHU…..
Sekian dan terima kasih kerana membaca…
SAMBUNGAN:
HARI ini, 30 MAC 2012, aku pi klinik lagi....sebab merah mata aku datang balik...gatal2 pun sama....gatal lain aku kurang kisah sangat...ekekeke....opst!. Hari ini aku jumpa doktor wanita pulak...DR. MIMI....doktor ini agak lembut tutur katanya. Dia cek mata aku dan aku rasa nak bertanya sesuatu lak hari ni. Dia jelaskan sakit mata ni banyak jenis dan bilangan hari yang dihidapi berbeza-beza. Satu lagi penyakit ni mudah menjangkit tapi bukan melalui angin yang kita selalu percaya atau melalui tenungan mata. Ia berjangkit bila tangan kita yang mememang mata tidak dibersihkan apabila kita memegang orang lain....tiada istilah mata bertentang mata, penyakit berpindah mata...takde macam tu...
Aku senang dengan doktor wanita ni, lembut katanya menyebabkan aku agak lega, tidak seperti doktor lelaki yang aku temui sebelum ini. Aku rasalah pompuan memang sesuai sebagai doktor kut.... Dr Mimi tu sarankan aku supaya buat 'check up' terutama darah sekurang-kurangnya setahun sekali... Sebenarnya aku takut cek darah ni...takut bila jarum cucuk kulit dan sedut darah aku satu tube kecik...takut sangat bila dicucuk apatah lagi di sedut darah. Jika diberi pilihan makan ubat pahit dengan cucuk jarum aku lebih memilih makan ubat sebab aku benci jarum...ekekekeke... Dia jugak cek tekanan darah aku...ermmm....dia kata normal......
Ubat mata yang dia beri kali ni adalah berlainan dengan yang lalu....INDOPREX namanya. Bila aku 'apply' kat mata, rasanya agak melegakan walaupun pada mulanya agak pedih. Ubat2 yang lalu tiada pun rasa pedih macam ni...nampaknya o.k. Aku harap aku boleh cepat sembuh sebab esok iaitu sabtu dan ahad aku nak keje...ada rakaman mcp di dectar waktu malam. Nampaknya bagus dan serasi kut ubat ni dengan aku...INSYAALLAH....
Itulah kan...bila salah satu anggota badan kita mempunyai masalah, seluruh tubuh tidak selesa...tentu sukar untuk kita menjalankan kehidupan seharian kita. Tapi macam yang aku tulis kat atas tu, bila dah sihat kita agak lupa dengan derita dan ada ketikanya kita lupa PENCIPTA kita.... Di sini juga aku ingatkan kembali diri aku, apa yang berlaku kat aku adalah apa yang dah ditentukan olehNYA. Mungkin dah siap tarikh kena penyakit dan siap juga dengan bila ia akan sembuh. Jika DIA kata tak akan sembuh hingga sampai ketikanya, maka penyakit tu tak akan sembuh. Jadi kita cuma berharap usaha kita diperkenankan....Mungkin jugak DIA inginkan aku supaya nilai kembali diri aku, apa yang telah aku buat, apa kesalahan aku dan sebagainya. Jadi mungkin penyakit ini sebagai ingatan kepada aku dalam banyak perkara. Walau bagaimanapun aku sewajarnya bersyukur hanya mata saja yang sakit....kalau seluruh tubuh yang sakit macam mana...? Apa-apa pun terima kasih kepada doktor tadi dan juga ustaz yang berusaha menjadi penyebab kepada penyakit aku yang bakal sembuh ini........insyaALLAH...
.....sekian.....dan terima kasih kerana sudi membaca...
daudmontak zakaria
30 mac 2012.
*photo by google images.
'DIALOG ANTARA AGAMA' yang di rakam pada 12 MAC 2012 di DECTAR UKM, Bangi..
daudmontakzakaria









Apa makna fotografi? (dlm bentuk grafik & sound effect)
subjek 1 - Fotografi ialah seni.
subjek 2 - Fotografi ialah sains
subjek 3 - Fotografi ialah melukis dengan cahaya
subjek 4 - Fotografi ialah satu perkara yang membuang masa....jika kita tidak mempunyai minat

Begitulah beberapa perkara berkaitan seni fotografi. Walau bagaimanapun pandangan mereka, pencinta atau peminat seni fotografi semangkin meningkat dikalangan orang ramai khususnya kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia. Hal ini boleh dilihat melalui peningkatan jumlah peserta yang memohon untuk menyertai bengkel foto yang dianjurkan oleh UNIT LATIHAN, BAHAGIAN SUMBER MANUSIA, JABATAN PENDAFTAR UKM.
...cantik kan...
Pada kali ini iaitu dari 15 hingga 18 MAC 2012, Bengkel Foto telah dijalankan di Bandar Kota Bharu Kelantan. Bandar Kota Bharu telah dipilih kerana beberapa ciri yang dimiliki olehnya.
Bandar Kota Bharu Kelantan mempunyai keluasan kira-kira 200 Kilometer persegi dengan jumlah penduduk lebih kurang 450 ribu orang. Perkembangan bandar ini bermula dalam tahun 1844. Banyak lokasi menarik yang wujud di sekitar bandaraya berkenaan. Bandar ini juga telah menjadi pilihan untuk bengkel fotografi kerana ia kaya dengan warisan seni budaya yang tentu sekali akan menjadi subjek penting untuk dirakam oleh peserta bengkel.
Sepanjang berada di Kota Bharu para peserta bengkel telah mengambil peluang merakamkan pelbagai subjek-subjek yang menarik di sekitar bandar tersebut....Segala mercu tanda di sekitar bandar berkenaan telah diabadikan oleh lensa kamera mereka.
Pasar Siti Khadijah merupakan pasar yang terkenal di Bandar Kota Bharu ini. Segala barangan boleh ditemui di pasar ini. Pasar ini mempunyai 4 tingkat iaitu tingkat bawah menjual barangan basah, tingkat satu menjual barangan kering dan tingkat 2 dan 3 menjual barangan bukan makanan.

Kesibukan aktiviti perniagaan di pasar ini tidak dilepaskan oleh peserta bengkel untuk dirakam. Segala subjek dicari dan segala sudut di segenap pasar ini diamati.
Uniknya pasar Siti Khadijah ini ialah kebanyakan peniaga yang berniaga di sini terdiri daripada kaum wanita. Satu lagi, ialah setiap kali masuk waktu solat aktiviti perniagaan dihentikan buat seketika.
Kelihatan para peniaga di sini sibuk melayan pelanggan mereka. Aktiviti perpindahan wang dan barang-barang dari tangan ke tangan sentiasa berlaku tanpa henti umpama ia menjadi denyut nadi pasar tersebut.

Di sudut mana sekalipun di pasar ini, kelihatan peserta bengkel foto mengintai subjek untuk dirakam. Mereka sabar menunggu saat dan ketika untuk merakam sesuatu yang mempunyai nilai estetika dalam seni fotografi.
Para peniaga tidak menghiraukan kehadiran peserta bengkel, seolah-olah mereka telah memahami kehendak peserta bengkel yang sentiasa mengintai ketika yang sesuai untuk membuat rakaman. Aktiviti perniagaan bermula dari jam 6.00 pagi hingga 7 malam.
Selain Pasar Siti Khadijah yang sentiasa sibuk dan hidup dengan aktiviti perniagaan, sekitar bandar ini juga kaya dengan lokasi-lokasi menarik untuk dikunjungi. Di antara tempat-tempat tersebut ialah Istana Balai Besar, Istana Jahar, pusat beli belah, pusat kraftangan dan sebagainya.
Mungkin ramai pelancong yang datang dari luar Kelantan jika dilihat daripada kenderaan-kenderaan yang diletakkan ditempat-tempat letak kereta di sekitar kawasan ini. Pelawat juga kelihatan di mana-mana sahaja di lokasi menarik sekitar bandaraya ini. Mereka sentiasa mengabadikan kunjungan mereka ke sini untuk dijadikan kenangan setelah meninggalkan bandaraya ini. Segala informasi yang diperlukan boleh didapati melalui Pusat Informasi Pelancongan di sini.

Di Pantai Cahaya Bulan yang satu ketika dulu dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi, juga terdapat ramai juga pengunjung. Mereka mungkin berkunjung ke pantai berkenaan dengan pelbagai tujuan. Diantara kemungkinan kehadiran mereka di pantai ini adalah ingin melihat keindahan permandangan di sini.
Mungkin mereka juga ingin merasai tiupan bayunya yang nyaman atau ingin mendengar deruan ombak yang sentiasa patuh kepada kuasa pencipta yang sentiasa berlumba-lumba, berkejaran menghempas ke pantai.
Peserta bengkel tidak melepaskan peluang untuk merakamkan segala aktiviti yang terdapat di pantai ini. Aktiviti perniagaan juga rancak berjalan di pesisir pantai ini. Setelah penat mencari dan merakam subjek, peserta mengambil peluang berehat sambil menjamu selera dan membasahkan tekak yang kering dalam tiupan bayu Laut China Selatan. Daya kreativiti boleh tercetus di mana-mana dan pada bila-bila masa. Idea yang tercipta ini memang sepatutnya tidak dipersiakan dan sewajarnya diabadikan di kamera masing-masing.

Berikutnya para peserta bengkel mula bergerak untuk mengunjungi kediaman seorang pakar dalam membuat hulu dan sarung keris. Sebelum itu mereka mengambil kesempatan merakam foto di gerai-gerai yang menjual pakaian batik yang beraneka corak dan rata-rata kelihatan cantik.
Di kediaman pakar membuat hulu dan sarung keris berkenaan, peserta tidak membuang masa dan terus membuat rakaman segala hasil ciptaan seni Encik Rashidee Hussein yang dipamerkan. Pelbagai soalan juga diajukan kepada beliau dan semua soalan dilayan dengan senang hati oleh Encik Rashidee. Melalui perbualan tersebut maka dapatlah diketahui bahawa beliau telah menceburi bidang berkenaan lebih daripada 20 tahun. Kepakarannya telah diwarisi daripada ayahnya. Sebenarnya tidak terdapat bukti khusus bila Keris dicipta. Menurut tulisan Stanfords Raffles, arca keris terdapat disebuah candi bertarikh 1361 di Jawa. Terdapat juga pendangan mengatakan keris Majapahit telah dicipta pada kurun ke 7. Menurut Encik Rashidee lagi pemilihan kayu untuk membuat sarung dan hulu Keris dibuat dengan penuh teliti serta memerlukan masa yang panjang.

Beliau juga pernah membuat sarung dan hulu Keris untuk seorang Sultan dengan bayaran ratusan ribu ringgit untuk tiga bilah Keris. Peserta bengkel banyak mendapat maklumat berkaitan Keris selama lebih kurang satu jam berada di kediaman En. Rashidee. Banyak juga subjek yang mereka rakamkan sepanjang masa mereka meluangkan masa berbual mesra dengan Encik Rashidee.
Sekitar Kota Bharu juga kaya dengan warisan seni yang lain. Pada waktu malam peserta bengkel telah menonton persembahan wayang Kulit di Kompleks Budaya sambil membuat rakaman foto persembahan seni tersebut. Persembahan Wayang Kulit berkenaan berlangsung selama kira-kira 2 jam.
Di sekitar Bandar Kota Bharu juga terdapat tempat membuat pelbagai jenis keropok termasuk Keropok Lekor. Kesempatan diambil oleh peserta untuk merakam proses membuat keropok ketika mereka berkunjung di salah sebuah tempat perusahaan keropok berkenaan. Perusahaan membuat keropok lekor ini telah wujud sejak lebih 30 tahun yang lalu. Setiap peringkat proses membuat keropok telah dirakam oleh peserta. Ada yang tidak melepaskan peluang untuk merasa keenakan keropok yang terdapat di sini

Seterusnya peserta bengkel bergerak ke Kampung Laut dengan menaiki bot untuk berkunjung ke rumah seorang pemain Wayang Kulit dan pembuat patung wayang Kulit.
Perjalanan dengan bot untuk menyemberangi sungai mengambil masa selama lebih kurang 20 minit. Kami selamat sampai ke destinasi yang ditujui.
Di rumah berkenaan, para peserta merakam pelbagai subjek serta berbual dan mengajukan beberapa soalan. Pak Jusoh juga membuat demontrasi permainan Wayang Kulit tersebut. Di Kota Bharu Pak Jusoh merupakan salah seorang yang terkenal dalam seni Wayang Kulit ini. Wayang Kulit merupakan sejenis hiburan pementasan bayang dari patung. Patung Wayang Kulit ini diperbuat daripada kulit lembu, kerbau atau kambing. Dikatakan juga Wayang Kulit Melayu Kelantan berasal dari Kemboja
Di Kampung Laut ini juga terdapat perusahaan membuat Serunding. Perusahaan ini telah wujud sejak lebih 30 tahun dan ia menghasilkan Serunding Daging, Ikan dan Ayam. Serunding ini juga telah mendapat pasaran yang luas di dalam negeri dan juga di luar Negara termasuk Ukrine. Proses membuat serunding ini mengambil masa selama lebih kurang empat hingga lima jam.

Di Kampung laut ini juga wujud perusahaan membuat dodol untuk jualan. Proses membuat dodol ini adalah dengan menggunakan mesin. Dengan menggunakan cara moden ini, dodol boleh disiapkan dalam masa tiga jam berbanding cara lama yang mengambil masa lebih kurang lima jam untuk disiapkan.
Dari Kampung Laut, peserta bengkel kembali semula ke Kota Bharu dengan bot yang sama untuk melawat di sebuah rumah yang menjalankan perniagaan membuat martabak yang dikenali sebagai Martabak Raja. Perjalanan dengan bot dikenakan bayaran tambang sebanyak satu ringgit untuk orang dewasa. Di rumah pembuat martabak ini peserta merakamkan apa saja yang mereka fikirkan mempunyai nilai seni disamping bertanyakan soalan-soalan kepada pengusaha perniagaan berkenaan. Menurut maklumat martabak tersebut boleh disimpan lama iaitu selama 4 bulan jika diletakkan dalam peti sejuk. Satu hari sejumlah lebih kurang 100 keping martabak dihasilkan yang dikenakan harga 13 ringgit sekeping. Martabak yang dihasilkan sentiasa habis dijual.
....bot di jeti...Di Bandar Kota Bharu juga terdapat perusahaan menenun kain songket. Perusahaan ini juga telah bertapak agak lama. Menurut pekerja, selama 10 hari diperlukan untuk menyiapkan 2 meter kain songket ini.

Terdapat sebuah galeri yang digunakan untuk mempamerkan pelbagai kain songket dan kain batik yang beraneka corak yang menarik dan pasti memukau pandangan mereka yang singgah di situ. Menurut pemilik perusahaan tersebut, harga kain songket yang termurah di situ ialah lebih seratus ringgit dan yang paling mahal ialah lebih kurang lima belas ribu ringgit harganya. Pasaran songket tempatan amat menggalakkan dan ada juga yang di eksport ke luar negara seperti Brunai.
Seterusnya peserta bengkel mengambil peluang menonton Dikir Barat di Pusat Kebudayaan di Kota Bharu. Mereka merakam segala yang terdapat di pentas dan juga dikalangan penonton. Persembahan Dikir Barat tersebut berakhir lebih kurang jam 11.00 malam. Dikir Barat merupakan satu persembahan muzikal. Mengikut sejarah persembahan Dikir Barat dimainkan oleh kaum lelaki sahaja. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat juga persembahan yang disertai oleh kaum wanita.

Akhir sekali peserta bengkel foto melawat kediaman seorang pakar membuat wau. Di sini kelihatan beberapa buah wau yang cantik dalam pelbagai saiz. Terdapat beberapa jenis wau yang dikenali sebagai Wau Bulan, Wau Burung Puyuh, Wau Jalak Budi, Wau Rakaku, Wau Burung dan Wau Merak.
Harga sebuah wau yang bersaiz kecil ialah lima ratus ringgit yang boleh disiapkan dalam masa 2 minggu. Sementara wau yang besar yang mempunyai harga lebih dua ribu ringgit yang mampu disiapkan dalam masa sebulan.

Setelah puas menjelajah ke sekitar bandar Kota Bharu serta merakamkan pelbagai subjek dan alam sekitarnya maka semua peserta membuat pilihan foto-foto yang tercantik untuk dipersembahkan dihujung bengkel berkenaan. Setiap peserta mempersembahkan rakaman foto masing-masing serta diberi komen oleh fasilitator.

Apa yang diharapkan daripada setiap bengkel yang dijalankan ialah bengkel ini diharap mampu mencetuskan kekuatan dan menunaskan rasa minat yang mendalam dikalangan peserta untuk menjadi jurufoto yang berjaya di masa hadapan.
