Sunday, June 21, 2009

Bintang Klasik UKM.



Malam ini rakaman MCP Bintang Klasik tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Berlaku masalah teknikal. Semasa membuat pemeriksaan aku dapati salah satu daripada kabel audio telah tercabut, tak pasti sama ada sengaja dicabut atau kabel tu menanggalkan dirinya sendiri daripada tempat yang sepatutnya. Mungkin juga terdapat masalah lain selain daripada masalah tersebut. Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui. Masalah ini hanya dapat diatasi setelah program tersebut tamat. Apa nak buat, sudah takdirnya begitu. Masalah berkaitan teknikal ini tidak boleh dijangka, jika ia nak berlaku, ia akan berlaku. Sedih sangat aku dengan apa yang telah berlaku. Sedih juga kerana tak dapat melaksanakan tugas dengan baik....ibarat dalam peperangan Ketua Panglima mesti memikul tanggung jawab berkenaan.....namun tentera-tentera jugak tidak boleh lepas tangan...tetapi tentera upahan mungkin boleh dibebaskan...

Thursday, June 11, 2009

Kem Bahasa Inggeris

Sdr. Ramli sedang memeriksa kamera video sebelum memulakan
rakaman(foto 16/6/09).

Di sinilah program dijalankan(foto 16/6/09)

Keadaan di luar lokasi program(foto 16/6/09)

Lokasi program berhampiran kolam
di Golden Straits Villa, P.D(foto 16/6/09)


View Larger Map




View Larger Map

Golden Straits Villas dari googleearth


View Larger Map


Pada hari Sabtu, 13 Jun 2009, dan hari Selasa, 16 Jun 2009, Unit Audio Video mungkin akan membuat rakaman video Kem bahasa Inggeris di Golden Straits Villas, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami sebenarnya tidak berapa pasti dengan lokasi kem berkenaan. Harap kami akan dapat mencari lokasi yang tepat nanti. Harap Google Map dapat menunjukkan arah.

13 Jun 2009,
Aku sebenarnya tidak mengetahui cara untuk sampai ke lokasi kem ini. Oleh itu satu cara yang aku dapat fikirkan ialah dengan meneliti peta di Googlemap. Jam lebih kurang 6.00 petang, aku bersama sdr. Ramli telah memulakan perjalanan ke lokasi tersebut. Kami mengambil keputusan untuk memalui jalan lama bukan melalui lebuhraya kerana dikhabarkan lebuhraya ketika itu sesak dengan kenderaan.


Melalui jalan lama dari UKM kami bergerak melalui Jalan Bangi Lama dan seterusnya memasuki jalan menuju Dengkil sampai disatu simpang kami membeluk kiri untuk menuju ke pekan Salak, seterusnya pekan Sepang. Tiba di Sepang kami beluk kiri menuju Lukut dan Port Dickson. Kalau beluk kanan tentu akan menuju ke Bagan Lalang. Tiba di satu simpang, beluk kanan untuk masuk ke pekan Lukut. Kalau beluk kiri, akan menuju ke Seremban. Dari pekan Lukut kami meneruskan perjalanan hingga Port Dickson. Kami meneruskan perjalanan melalui Jalan Pantai. Kami tidak membeluk kanan untuk ke Pekan Port Dickson. Tidak berapa lama kemudian kami tiba di Golden Straits Villas. Setelah membuat tinjauan lokasi program Kem Bahasa Inggeris tersebut, maka kami terus mencari sebuah masjid yang tidak berapa jauh dari tempat tersebut untuk menunaikan solat Maghrib.


Selesai solat kami terus ke Golden Straits Villas untuk membuat rakaman program berkenaan. Peralatan disediakan dan seluruh acara telah dirakamkan oleh sdr. Ramli. Kebanyakan acara tersebut ialah lakonan dan nyanyian sambil menikmati makan malam. Antara VIP yang aku kenal ialah Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar, Prof. Dato' Dr. Shaharuddin dan juga Pengetua Kolej Burhanuddin Helmi, Dr. Kadderi Md Desa. Acara tersebut tamat kira-kira jam 11.30 malam. Dalam perjalanan balik kami singgah di sebuah gerai untuk menjamu selera. Kami bergerak kembali melalui jalan kami datang ke sini. Tiba di UKM lebih kurang jam 1.00 pagi. Setelah menyimpan peralatan dan key out di e warga, kami pun pulang ke rumah. Sebenarnya ini merupakan kali pertama aku pergi ke Port Dickson dengan memandu kenderaan sendiri dengan ditunjukkan arah oleh sdr. Ramli.


16 Jun 2009 nanti, kami juga akan ke lokasi ini untuk rakaman program yang sama iaitu Kem Bahasa Inggeris anjuran Pusat Perkembangan Pelajar, UKM.


16 Jun 2009;

Bergerak ke Port Dickson dalam lingkungan jam 6.00 petang lebih kurang. Jalan yang dilalui adalah sama seperti 13 Jun yang lalu. Untuk lebih jelas kami melalui pekan Sepang, Lukut dan tiba di Port Dickson. Di Port Dickson kami terus menuju masjid di sana untuk solat Maghrib. Selesai solat terus ke Golden Straits Villa. Tiba di sana kelihatan peserta dan urus setia mula menjamu selera. Kami dijemput sama oleh Cik Wan....hmmmm....tak ingat Wan apa..Kami memasang peralatan rakaman dan seterusnya menjamu selera.

Selesai menjamu selera program pun bermula. Sdr. Ramli membuat rakaman keseluruhan acara berkenaan. Peserta pada malam ini merupakan peserta kumpulan kedua. Nampaknya tidak seramai kumpulan pertama pada 13 Jun yang lalu. Dr. Kadderi Md Desa nampaknya rajin merakam gambar foto di sekitaran dengan kameranya. Tidak terlepas merakam gambar ketika kami memasang peralatan dan sedang mengambil makanan untuk santapan malam itu.

Acara tamat kira-kira jam 10.30 malam. Kami pulang ke UKM melalui jalan yang sama. Hmmmm....malam tu aku tersesat kerana telah masuk jalan ke Seremban, sepatutnya aku masuk ke jalan menuju pekan Sepang. Agak jauh jugak lah. Kalau sdr. Ramli tidak menyedarinya tentu kami terlepas ke Bandar Seremban. Jalan lama ke P.D yang kami lalui itu agak sunyi dan kalau memandu seorang diri tentu jalan ini tidak termasuk dalam pilihan jika waktu malam. Kami tiba di UKM lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Hmmmmm....selesailah satu tugas untuk hari ini.....



Monday, June 8, 2009

Akhirnya siap jugak...



Setelah beberapa kali tergendala kerana tugas-tugas lain yang agak padat, akhirnya aku dapat juga menyiapkan penyuntingan video Lawatan Tidak Rasmi Tan Sri Naib Canselor ke Hutan Lipur Lata Jarum, Raub, Pahang pada 23 Mei 2009 yang lalu untuk melihat sendiri kewujudan Bunga Pakma atau Rafflesia di sana. Jadi, oleh itu aku akan membuat beberapa salinan dalam bentuk DVD untuk diberikan kepada Prof. J. DVD tersebut juga mungkin akan diberi kepada Tan Sri Naib Canselor, itu terpulanglah kepada Prof. J., tugas aku cuma menyiapkan video berkenaan.


Selepas ini mungkin aku akan menyiapkan tugas-tugas dubbing untuk video Ekspedisi Saintifik Fraser Hill yang telah lama tergendala. Satu lagi program yang akan aku sunting ialah Bunga Rafflesia yang akan dipenuhi dengan keteranga-keterangan saintifik bunga berkenaan oleh Prof. J dan En. Shukri di lokasi bunga tersebut. Semua footage telah dirakamkan dengan sepenuhnya. Tetapi aku sendiri pun tidak dapat meneka bila penyuntingan ini akan dimulakan.

Sunday, June 7, 2009

Program Silang Budaya V

Sedang membuat rakaman temubual di rumah Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar,
Prof. Dato' Dr. Sharuddin di Bandar Baru Bangi.

Abadikan suasana mesra antara
ibu angkat dan anak angkat

Temubual dengan Dato'


Suasana santai


The making of...

Sdr. Lim..

Selepas solat Zohor di surau berhampiran Stadium Bukit Jalil, kami pun bergerak menuju ke rumah keluarga angkat di sebuah kawasan kediaman di Ekplanad(eh! betul ke...) berhampiran International Medical University Malaysia. Setelah puas mencari akhirnya sampai juga kami di rumah keluarga angkat tersebut. Keluarga angkat berkenaan merupakan sebuah keluarga perkahwinan campur India dan Bumiputra Sarawak iaitu dari Bario. Suaminya merupakan seorang pensyarah di International Medical University dan isterinya pula aku lupa sebagai apa.


Maaflah aku tidak mempunyai data lengkap keluarga-keluarga angkat dan anak-anak angkat program Silang Budaya ini. Foto kelurga ini pun aku lupa nak rakam dengan kamera foto. Di rumah keluarga ini kami telah dipelawa menikmati Laksa Sarawak. Enak juga aku rasa laksa ini. Kami sempat merakamkan temubual dengan keluarga angkat dan anak-anak angkat mereka yang semuanya terdiri daripada pelajar lelaki. Kami juga sempat merakamkan mereka membantu menyediakan bahan untuk membuat Laksa Sarawak. Kami meninggalkan rumah berkenaan kira-kira jam 5.00 petang, tak pasti.


Ketika masih berada dalam rumah keluarga angkat tersebut, sdr. Lim telah menerima sms daripada Dr. Kadderi, meminta kami membuat rakaman di rumah Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar, UKM iaitu Prof. Dato' Dr Shaharudin di Bandar Baru Bangi. Sebelum menuju rumah berkenaan, kami singgah di masjid Bandar Baru untuk menunaikan solat Asar.


Kami menuju ke rumah Prof. Dato' Dr Shaharudin bersama-sama dengan Dr. Kadderi. Di rumah Dato' Shamsudin kami telah membuat rakaman temu bual dengan beliau serta temubual dengan anak-anak angkat beliau yang terdiri daripada seorang pelajar lelaki kaum Cina, iaitu pelajar Fakulti Perubatan dan seorang pelajar dari kaum India dari Fakulti FSSK. Dr. Kadderi pula telah membuat rakaman video aktiviti rakaman yang kami lakukan di rumah Dato' Dr. Shaharudin.

Kami beredar dari rumah tersebut lebih kurang jam 6 setengah petang dan seketika kemudian kami tiba di Pusat Penerbitan dan Percetakan, UKM. Masing-masing berpisah di sini untuk bertemu lagi hari esok untuk rakaman video majlis penyerahan kembali anak-anak angkat yang akan dilaksanakan di Danau, UKM.

Program Silang Budaya IV

Hmmm..apakah yang dibualkan oleh sdr. Lim
dengan anak-anak angkat ni..


Rakaman dilakukan di dapur.

Makan tengah hari di Nasi Lemak
Antarabangsa Kampung Baru

Kami solat Zohor di surau berhampiran
Stadium Bukit Jalil

Dari Petaling Jaya, kami bergerak pula ke Danau Kota untuk membuat rakaman video rumah keluarga angkat di sana pula. Biasalah bila sebelum ini tidak pernah sampai di sini tentulah sukar juga mencari rumah berkenaan. Walau bagaimana pun akhirnya kami tiba juga di lokasi tersebut setelah Pengurus Produksi kami cik Khadijah(eh! ye ke cik) menghubungi keluarga berkenaan berkali-kali.

Apabila tiba di sana, biasalah, tentu kami semua dipelawa masuk ke dalam rumah. Keluarga angkat berkenaan merupakan seorang wanita Melayu dan anak-ank angkatnya terdiri daripada seorang pelajar perempuan Melayu dan seorang pelajar perempuan Cina.

Di sini juga kami telah dilayan dengan amat mesra oleh keluarga angkat tersebut. Melalui perbualan yang santai, kami mendapati suami wanita tersebut telah meninggal dunia kira-kira 5 tahun yang lalu. Di sini kami sempat merakamkan temubual dengan keluarga angkat berkenaan dan juga anak-anak angkatnya. Kami juga telah merakamkan ketika wanita berkenaan menunjukkan cara membuat kueh tradisional Melayu.

Kami meninggalkan keluarga angkat tersebut kira-kira jam 1.00 petang. Oleh kerana waktu makan tengah hari telah tiba, kami singgah di sebuah cawangan Kedai Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru yang berhampiran di lokasi berkenaan. Seterusnya kami solat Zohor di sebuah surau berhampiran Stadium Bukit Jalil, niat untuk solat di Masjid Tabligh Petaling tidak dapat dilaksanakan kerana sesuatu hal yang tertentu.

Program Silang Budaya III

Rakaman temubual anak angkat di P.J

Depan rumah inilah 'istana' tokeh emas Poh Kong tu.
Lupa nak rakam dgn kamera foto den...








Hari ini hari Ahad, dan ia merupakan hari kedua kami akan keluar membuat rakaman video di rumah-rumah keluarga angkat program silang budaya ini. Aku tiba di pejabat Pusat Penerbitan dan Percetakan lebih kurang jam 7.30 pagi. Selepas key in di e warga, aku membuat pemeriksaan peralatan video yang akan di bawa untuk aktiviti rakaman video hari ini. Aku juga melihat secara sepintas lalu catatan semalam berkaitan aktiviti rakaman yang telah dilakukan. Tidak berapa lama kemudian sdr. Kamarul pula tiba.

Apabila Cik/ Puan?(masih tak pasti hingga ketika ini) Khadijah dan sdr. Lim tiba kamipun bergerak ke Bandar Baru Bangi untuk membuat rakaman video berkaitan seorang anak angkat bersama keluarga angkat di lokasi tersebut. Kami difahamkan anak angkat berkenaan akan menghadiri kenduri kahwin di rumah jiran keluarga angkatnya. Tiba di sana, aktiniti rakaman tidak dapat dilakukan kerana anak angkat keluarga tersebut belum lagi bersiap. Kami juga difahamkan keluarga angkat tersebut berada di Australia.

Kemudian kami bergerak pula ke sebuah lokasi keluarga angkat di Petaling Jaya. Setelah puas mencari dan juga dihubungi dengan hp oleh (Cik/Puan?) Khadijah, akhirnya kami sampai di destinasi yang ingin kami tujui. Wah, nampaknya rumah besar lagi... Di hadapan rumah keluarga angkat tersebut terdapat sebuah lagi rumah besar seperti sebuah istana. Kami difahamkan rumah besar tersebut dimiliki oleh Tokeh Kedai Emas Foh Kong. Hmmm...patutlah seperti istana, rupanya pemiliknya duduk di atas timbunan emas.

Beberapa ketika menunggu kami pun dijemput masuk oleh tuan rumah keluarga angkat tersebut. Sebenarnya aku pun lupa nama keluarga angkat tersebut, maklumlah aku tidak punya catatan nama keluarga angkat berkenaan. Nama-nama anak angkat yang terdiri daripada dua orang pelajar lelaki Melayu dan Cina itupun aku lupa. Keluarga angkat tersebut dari kaum India dan merupakan seorang doktor.

Kami menemubual anak-anak angkat dan keluarga angkat tersebut. Kami juga dilayan dengan amat ramah oleh keluarga angkat tersebut. Anak-anak angkat di sini telah membuat demontrasi Yoga yang diajarkan oleh keluarga berkenaan dan tentu sekali kami telah rakamkan dengan kamera video. Kami bergerak kelokasi keluarga angkat yang berikutnya kira-kira jam 11.00 pagi.

Saturday, June 6, 2009

Program Silang Budaya II

Inilah crew kumpulan A yang membuat rakaman silang budaya;
dari kiri, aku lah tu, sdr. Kamarul, Cik Khadijah dan Sdr. Lim.
Ketika ini telah selesai membuat rakaman video
di kediaman Puan Sri Siow Yong, Bukit Putra.

Bergambar bersama keluarga Datuk Atikah
dan anak2 angkatnya.

Datuk Atikah sedang memberikan tunjuk ajar
kepada ank-anak angkat beliau


Rakaman dibuat ketika sesi ramah mesra keluarga angkat
dan anak-anak angkat di ruang
tamu rumah Datuk Atikah


Sdr. Kamarul bersama Sdr. Lim
di pinggir sebuah masjid

Sdr. Lim, Cik Khadijah dan sdr. Kamarul, sedang
menunggu sebelum sesi temubual di kediaman
Mrs. Sri Siew Yong di Bukit Tunku


Hari ini jam 7.30 pagi, aku dah sampai di Pusat Penerbitan dan Percetakan. Tugas kami hari ini ialah membuat rakaman video aktiviti anak-anak angkat bersama keluarga-kelurga angkat mereka. Unit UAV akan membuat rakaman berkenaan di sekitar Lembah Kelang. Kami di bahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan A terdiri daripada aku sendiri , sdr. Kamarul serta 2 orang felo iaitu (Cik/Puan?) Khadijah dan Sdr Lim. Sementara Sdr. Ruhaizad bersama kumpulan B yang terdiri daripada sdr. Ikhwan dari Unit Foto beserta 2 orang pelajar.

Apabila semua ahli kumpulan tiba di Pusat Penerbitan maka perjalanan kami pun bermula. Setiap kumpulan bergerak dengan kenderaan teksi yang diuruskan oleh Pusat Perkembangan Pelajar. Rumah pertama yang akan kami kunjungi ialah rumah Datuk Atikah Adom di Ampang Jaya. Selepas berhubungan melalui hp beberapa kali dengan (Cik/Puan?) Khadijah, akhirnya kami sampai jua di rumah datuk Atikah.

Di rumah Datuk Atikah, kami disambut dengan amat mesra sekali dan dijemput bersama bersarapan pagi dengannya dan anak-anak angkat beliau. Semasa mereka menjamu selera sempat juga kami merakamkan beberapa shot-shot secara 'candid'. Kemudian kami juga merakam ketika beliau menunjukkan etika menikmati jamuan ditempat-tempat yang berprestij. Kami juga sempat merakamkan temubual dengannya dan juga dengan anak-anak angkat beliau. Kami meninggalkan beliau bersama anak-anak angkatnya kira-kira jam 1.00 petang. Sebelum menuju lokasi kedua, kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat zohor.

Kira-kiram jam 3.0o petang kami bergerak pula ke lokasi kedua iaitu kediaman Mrs Sri Siew Yong. Setiba kami di sana, tiga keluarga angkat serta anak-anak angkat mereka sedang membincangkan berkaitan kepercayaan agama masing-masing. Di sini juga kami disambut dengan amat mesra sekali. Mereka berbincang dalam suasana yang amat harmoni. Kami sempat merakamkan beberapa shot ketika perbincangan sedang berlangsung. Selesai perbincangan kami sempat menemubual ibu-ibu angkat dan beberapa orang anak-anak angkat mereka. Lebih kurang jam 5.00 petang kami bergerak pulang ke UKM. Sebelum balik ke UKM, kami sempat minum petang di Bandar Baru Bangi.

Friday, June 5, 2009

Program Silang Budaya

Hari ini Jumaat. Majlis Penyerahan Anak Angkat Kepada Keluarga Angkat telah dilaksanakan di Bilik Senat, UKM pada jam 2.30 petang. Seperti biasa tugas kami dari Unit Audio Video, Pusat Penerbitan ialah membuat rakaman video program berkenaan. Saudara kamarul Baharin Supaat telah membuat rakaman tersebut.

Dengan kerjasama Pusat Perhubungan Pelajar, kami telah juga menemubual ibu bapa angkat untuk mendapatkan pandangan mereka berkaitan perogram berkenaan. Perasmian dan acara penyerahan anak angkat telah dilaksanakan oleh YBhg. Dato' Naib Canselor UKM. Temubual dengan Naib Canselor yang dijangka akan dibuat selepas majlis tidak dapat dilaksanakan kerana beliau minta diadakan selepas Majlis Penyerahan Semula Anak Angkat pada 8 Jun nanti di Danau, UKM.

Antara objektif program ialah,

-Memperkukuh semangat integrasi kaum
-Memperkuatkan tolerensi kaum dan agama
-Mendedahkan pelajar kepada aktiviti NGO
-Mendedahkan pelajar kepada kehidupan masyarakat di luar kampus
-Mendidik pelajar dalam menjalankan program berbentuk khidmat masyarakat
-Menerapkan kompetensi generik dalam diri pelajar

Monday, May 25, 2009

Kuntuman Pakma....nantikan kunjungan kami lagi...

Apa agaknye yang dibincangkan oleh Prof. J dan Encik Shukori ni,
perkara berkaitan jantina si Pakma ke???

Hmmmm....ini tentulah aku....

Sdr. Ramli Adnan

Anak sungai yang jernih airnya ditengah hutan.

Bersantai di sungai buta...

Sungai buta lagi....

Sayangggg....Pakma..

Baguih nampak 'posing' Prof. J ni....

*semua foto di atas bertarikh 24 Mei 2009.

22 Mei 2009.

Jumaat, 22 Mei 2009, bunyi klasik handphone aku berbunyi. Waktu itu lebih kurang jam 8.00 malam. Aku lihat di skrin hp tertera nama Ali Imran. Jari ku menekan butang hp untuk menjawab panggilan tersebut. Seperti biasa aku menyebut 'hello'. Suara 'macho' Ali Imran menjawab "Ut", panggilan ringkas nama ku disebut oleh Ali Imran. Dia menyambung..."Esok kita bertolak jam 7.00 pagi tau, Dato' Naib Canselor nak melawat tapak Pakma Lata Jarum..." Begitulah lebih kurang cakap Sdr. Ali Imran. Agak terkejut juga aku mendengarnya kerana semalam dia kata nak bertolak jam 10 pagi dan tiada pun menyebut Dato' Naib Canselor datng ke sana. Aku tak berkata apa-apa, cuma bersetuju je untuk bertolak jam 7.00 pagi tu.. Aku kemudian terus menghubungi Sdr. Ramli Adnan untuk memberitahu waktu yang terbaru untuk bergerak ke Hutan Lipur Lata Jarum, Raub, Pahang. Kami turut ke sana untuk membuat rakaman video lawatan Dato' Naib Canselor ke Lata Jarum untuk melihat sendiri Bunga Rafflesia di sana.

23 Mei 2009.

Lebih kurang jam 7.00 pagi aku serta sdr. Ramli Adnan mula bergerak meninggalkan bangunan Pusat Penerbitan dengan menumpang kenderaan En. Ali Imran. Kami menuju ke kediaman Prof. Dr. J(Jumaat Adam) untuk menjemput beliau. Setelah menjemput Prof. J, kami terus bergerak menuju Lata Jarum Raub Pahang.

Tiba di Raub, Pahang kami singgah untuk makan tengah hari. Tidak berapa lama kemudian rombongan Dato' Naib Canselor, Dato' Sharifah Hapsah pun tiba di Raub dan Prof. J pergi menemui beliau. Kemuadian Prof J. bersama kami mendahului rombongan Naib Canselor menuju Hutan Lipur Lata Jarum. Tujuan rombongan dato' naib Canselor ke Lata Jarum raub Pahang adalah untuk melihat sendiri kuntuman Bunga Pakma atau Rafflesia yang tumbuh di sana. Dato' Naib Canselor ditemani oleh suami beliau Dato' Dr. Mahmud serta pegawai UKM yang lain iaitu Dekan FST, Prof. Dr. Musa, Encik Razak Husin, dan Puan Padlon.

Kami tiba dipejabat renjer lata jarum kira2 jam 11.00 pagi dan Prof. J telah disambut oleh Encik Shukori, pegawai renjer perhutanan. Tidak lama kemudian rombongan Dato' Naib Canselor pun tiba dan disambut oleh Prof. J dan Encik Shukori. Seterusnya rombongan Dato' Naib Canselor telah dibawa dengan jeep oleh Encik Shukori dengan diiringi oleh Prof. J untuk ke lokasi dimana penjelajahan bermula di Hutan Lipur Lata Jarum itu. Aku sempat merakamkan dengan kamera video sebelum Dato' Naib Canselor di bawa denga jeep. Ini merupakan lawatan tidak formal Dato' Naib Canselor ke Lata Jarum.

Sementara itu aku, sdr. Ramli, En. Ali Imran, Sdr. Sabri dan Puan Padlon serta Encik razak Husin berjalan kaki menuju lokasi berkenaan sejauh 1.4 Km itu sebelum kami akan dijemput oleh En. Shukori. Whaa...masuk hari ini, sudah 3 kali aku masuk ke hutan lipur ini dan ini adalah kali pertama aku berjalan kaki menuju ke lokasi untuk mula masuk ke hutan. Oh! tak sangka aku, rupanya penat sungguh dan lenguh kaki sungguh berjalan sejauh 1.4 Km ini, rasa macam tak larat lagi untuk aku menghayun langkah.

Akhirnya sampai juga aku di lokasi tersebut. Rupanya rombongan Dato' menunggu semua tiba sebelum mula memasuki hutan lipur berkenaan. Rakaman video kami bermula di sini. Sebelum masuk ke hutan, rakaman foto telah dilakukan, aku juga turut serta bergambar...hmmm...ini bukankah sejarah bagi aku?

Selepas bergambar, langkah menjelajah hutan lipur Latar Jarum pun bermula dengan didahului oleh dato' Naib Canselor yang dipandu oleh Encik Mohd Shukori. Lokasi pertama ialah di Tapak Satu. Disini Prof. J dengan dibantu oleh En. Shukori telah menjelaskan semua perkara berkaitan Bunga Pakma atau Rafflesia ini. Agak lama juga mereka berada di Tapak Satu ini. Kemuadian rombongan bergerak ke Tapak Dua pula. Aku tidak dapat mengikuti rombongan ini kerana aku terlalu letih dan sukar untuk melangkah meneruskan perjalanan ke Tapak Dua dan Tapak Tiga. Aku benar-benar 'puntured' dan akhirnya mengambil keputusan untuk menunggu sahaja rombongan berkenaan turun kembali. Aku menunggu mereka di sebuah anak sungai yang jernih airnya. Sempat juga aku merakamkan beberapa tumbuhan dan sebagainya dengan kamera foto digital yang aku bawa bersama. Semua rakaman video hari ini dilakukan oleh Sdr. Ramli Adnan.

Apa yang aku dengar rombongan dato' Naib Canselor amat gembira kerana dapat melihat sendiri spesis bunga yang terbesar di dunia ini yang turut tumbuh dilantai hutan Hutan Lipur Lata Jarum, Raub, Pahang ini. Masing-masing mengabadikan kenangan dengan bergambar disebelah kuntuman bunga Rafflesia ini. Rombongan ini turun kembali dan tiba di pejabat renjer lata Jarum ini lebih kurang jam 2.00 petang dan diberi jamuan ringan.

Melalui Prof. Dr. J, kami semua diminta ke Bentung untuk makan tengah hari dengan rombongan Dato' Naib canselor. Aku dan sdr. Ramli tidak dapat mengelak, kalau diikutkan hati kami hendak berehat sahaja kerana terlalu keletihan. Kami semua telah turut bersama Dato' Naib Canselor menikmati jamuan makan tengah hari di Rumah Rehat Bentung. Jamuan makan tamat lebih kurang jam 4.00 petang. Rombongan dato' Naib Canselor pulang semula ke Kuala Lumpur sementara kami kembali ke Lata Jarum untuk menyambung rakaman video bunga Pakma pada esok hari...


24 Mei 2009,

Hari ini ialah hari Ahad, aku dan sdr. Ramli akan memasuki kembali hutan Lipur lata Jarum untuk membuat rakaman video bunga Pakma. Kami masuk ke hutan dengan diketuai oleh Prof. J dan dipandu oleh Encik Mohd Shukori. Kami masuk ke hutan seramai 5 orang iaitu Prof. J, En. Shukori, dan En. Ali Imran.

Tiba di dalam hutan lipur, kami membuat rakaman video sungai buta, kuntuman Rafflesia di Tapak satu, Dua dan Tiga. Selain dari itu masing-masing ber'posing' bersama si Pakma untuk dibuat kenangan. Kami merakam semua hal berkaitan Pakma yang dijelaskan oleh Prof. J. Kami juga merakam cubaan Prof. J dan En. Shukori untuk menyemai benih Pakma di akar perumah. Aku dapat membuat rakaman video semua pada hari ini tanpa sebarang masalah. Aku tidak 'puntured' lagi seperti semalamm....

Thursday, May 7, 2009

Menjejak Rafflesia di Lata Berembun, Raub, Pahang

Di tempat Bunga Pakma








Hutan Lipur Lata Berembun









Sdr. Ramli Adnan

Hari ini 7 Mei 2009, hari Khamis.
Semalam aku sukar untuk tidur walaupun keletihan kerana mendaki serta menuruni bukit sepanjang hari di Lata Jarum untuk merakam Bunga Pakma. Aku cuma dapat melelapkan mata lebih kurang jam 2.00 pagi dan terbangun semula secara tak sengaja pada jam 5.00 pagi dan selepas itu mata tak dapat lelap hingga ke siang.



Pagi ini kami merancang untuk ke suatu tempat di mana terdapat Bunga Pakma,menurut kata En. Shukori, Pegawai Renjer Perhutanan itu. Encik Shukori menjumpai lokasi berkenaan hasil dari maklumat penduduk kampung berkenaan. Prof. J, apabila mendengar sahaja hal demikian memanglah amat teruja untuk pergi ke sana. Kami akan di bawa oleh En. Shukori dengan menaiki jeep 4WD nya. Lebih kurang jam 8.00 pagi kami sudah bersedia dengan peralatan yang perlu. Namun kelima-lima pelajar pasca siswazah tidak ikut serta kerana semalam mereka telah kembali ke UKM kerana ada 'presentation', itu sahaja ungkapan yang aku dengar. Aku tidak ingin untuk mengetahui lebih lanjut kerana aku tak suka 'jaga tepi kain atau tepi seluar orang lain'.



Selepas siap semuanya, aku, sdr. Ramli, Prof. J, Ali dan En. Shukori pun mulalah bergerak. Lokasi yang utama tentulah gerai minuman kerana waktu ni memang waktu yang sesuai untuk mengisi perut kami dengan sarapan pagi. Oleh itu kami singgah di gerai kebiasaan kami yang mungkin boleh dikatakan mempunyai daya tarikan tersendiri. Selepas menghirup minuman pagi dan menjamah sarapan, kami pun mula bergerak. Encik Shukori memandu jeep pacuan 4 rodanya memasuki satu lorong ke satu lorong kerana tersesat. Namun akhirnya kami sampai di lokasi untuk mula berjalan dengan kaki pulak. Jauh juga jaraknya dari Lata Jarum, mungkin berkotak-kotak rokok bagi golongan yang merokok, barulah boleh sampai ke sini. Itu pun kalau tak meninggal dek kanser.



Setelah mendaki tanah agak tinggi dan menuruni cerun yang tak berapa curam kami pun sampai di satu tempat dan kami semua keluar dari jeep. Visual pertama yang kami rakam dengan video ialah Bunga Kantan berhampiran jeep berhenti. Cantik juga bunga kantan yang bewarna merah, eh! ia kah merah, aku pun tak pasti. Selesai merakam bunga kantan dan ladang bunga kantan tersebut kami berdua pun bergerak menuju lokasi Prof. J, Ali dan En. Shukori yang sedang setia menunggu di situ sejak tadi.




Mulanya kami memasuki suatu kebun yang ditanam dengan pokok-pokok langsat. Selepas kami merentas anak sungai yang kecil, kami berjumpa pulak dengan tanaman pokok getah yang kelihatan sudah ditoreh. Seterusnya merentas semak samun pokok paku pakis yang berkilat daunnya dipanah cahaya matahari. Kemudian merentasi lagi anak sungai yang di dalamnya terdapat anak-anak ikan dan air sungai tersebut amat jernih dan dingin sekali. Kemudian kami melalui jambatan kecil dan masuk kembali ke hutan serta mandaki lereng bukit kecil, melalui celah-celah batu dan celah-celah pokok serta laluan tanah yang kalau silap perhitungan akan tergolek ke kaki bukit, kalau tak ajal pun, mungkin akan di sergah ular dengan mulutnya tenganga luas serta taringnya yang bisa.. Mendaki, menuruni, mendaki...ermmm...barulah kami sampai di lokasi Pakma oh! Rafflesia itu. Di situ En. Shukori dan Prof J. mencari Bunga Pakma dan merakam dengan kamera foto. Sementara kami yang agak keletihan berehat sebentar menghilangkan lelah kerana mendaki. Kami juga minum air yang di bawa untuk membasahkan tekak kami yang sangat kering. Agak jauh juga kami berjalan.




Kemudian tugas kami ialah merakam beberapa Bunga Pakma sama ada di tanah dan yang melekat di akar di atas pokok. Kami membuat banyak rakaman di sini. Lama juga kami di sini. Penjelasan diberikan oleh Prof. J dan En. Shukori semasa kami membuat rakaman. Kami juga membuat rakaman selepas Bunga Pakma dibelah dua untuk melihat bahagian dalamnya. Hmmmm...cantik sungguh bahagian dalam Bunga Pakma ibarat satu lukisan pada pandangan aku. Selesai sahaja kami membuat rakaman dan Prof. J menyelesaikan tugasnya, kami pun bergerak keluar hutan, ermmm....meredah lagi nampaknya. Dalam perjalanan keluar, aku sempat juga merakam beberapa imej yang aku agak aku berminat merakamnya sama ada dengan kamera video atau foto yang aku bawa bersama.



Selepas makan tengah hari, En. Shukori membawa kami ke satu lokasi yang terdapat Bunga Pakma iaitu Hutan Lipur Lata Berembun. Lokasi ini agak jauh, sakitlah juga kaki dan bahagian bawah badan serta sebagainya kerana lama duduk dalam jeep serta jalan masuk untuk sampai ke lokasi berkenaan tidak boleh di lalui oleh kereta. Kenderaan yang boleh masuk ke Hutan Lipur Berembun itu cuma jeep 4 way drive sahaja. Kalau kenderaan lain, jangan harap nak sampai ke sana. Bukan saja jalannya berlobang-lobang dan sangat tidak rata tetapi juga ia melalui lereng bukit yang di bawahnya terdapat gaung-gaung yang dalam dan kalau jatuh dah tentulah berpindah ke alam lain jika itu takdirnya.



Tiba di Hutan Lipur Lata Berembun, aku pun mula membuat rakaman aliran air sungai yang jernih yang di dalamnya terdapat batu-batu besar yang pelbagai saiz. Aku juga merakam air terjun yang tinggi dan cantik di situ. Jernih sungguh airnya. Sempat juga aku menghirup airnya yang dingin dan jernih itu. Hmmmm....dingin sungguh tekak aku apabila dilalui oleh air dingin Lata Berembun itu. Bila kita berada hampir dengan air terjun tersebut, badan kita berasa dingin kerana tempias dari air terjun tersebut akan terkena kepada kita. Sementara itu Ali Imran, Prof. J dan En. Shukori merkam keindahan di situ dengan kamera foto masing-masing. Aku serahkan kamera video kepada sdr. Ramli. Dia merakam beberapa pemandangan dn sebagainya disitu terutama air terjun yang cantik tersebut. Aku pula sempat merakam situasi disekitar dengan kamera handphone aku kerana kemera foto digital aku telah kehabisan bateri. Lama juga kami di sana sebelum beredar. Di kawasan Lata Berembun ini sdr. Ramli telah disengat oleh lebah dan aku pula cuma nyaris sahaja. Banyak sangat lebah di situ, mungkin sarangnya ada berdekatan tempat berkenaan.



Perjalanan pulang, kami terpaksa juga melalui jalan yang sama, yang penuh dengan batu-batu besar, tidak rata, banyak lubang-lubang dan banyak juga gaung-gaung menunggu di bawah. Apa boleh buat kerana itu saja satu-satunya jalan yang ada. Hutan lipur berkenaan hanya boleh di kunjungi oleh mereka yang memiliki atau menaiki 4 way drive sahaja kerana faktor jalan penghubung yang disengajakan dibuat begitu oleh penduduk yang memiliki kenderaan pacuan 4 roda.



Kami tiba di Lata Jarum kembali lebih kurang jam hampir 7.00 malam. Kami mandi di Lata Jarum, hmmm...amat dingin airnya, semua yang ada ditubuh mugkin menjadi kecut...keh...keh...keh...Lebih kurang jam 9.00 malam kami pulang ke UKM selepas makan makanan malam yang enak pada pendapat aku dimana salah satu masakannya di panggil 'Steam Asam' atau "Steam Limau' tak pasti aku mana yang betul. Sampai UKM hampir jam 12.00 malam, malam Jumaat pulak tu.....Mungkin malam ini untuk Prof. Dr. Jumaat kut...

* foto-foto yang lain terdapat dalam galeri foto.