Monday, December 22, 2008

Sketsa...oh...sketsa...

Hari ini kami menyambung kembali rakaman video sketsa Pusat Kebudayaan UKM. Aktiviti penggambaran bermula dari jam 11.00 pagi dan tamat pada jam 4.30 petang juga. Oleh kerana penggambaran di lakukan di MALAYSIA maka waktu yang ditulis tadi ialah WAKTU MALAYSIA. Penggambaran pada hari ini berjalan dengan lancar. Semua yang terlibat telah memberikan kerjasama yang sewajarnya. Dalam sesi penggambaran pada pandangan aku, janganlah dilakukan dalam keadaan 'serious' perlu ada gurauan dan sebagainya supaya tugas yang dilakukan tidak memenatkan semua yang terlibat. Lakukan tugas dalam keadaan seperti bersantai, perlu ada gurauan tetapi tugas tetap dilakukan dengan sempurna. Kakitangan yang terlibat sebagai pelakon rata-rata adalah kakitangan Pusat Kebudayaan UKM seperti Pn. Hazelina, En. Rafie, En. Roslan, sdr. Zainuddin, En. Amar dan beberapa orang lagi yang aku tak ingat sangat nama mereka...Lokasi penggambaran kami hari ini ialah di Panggung Seni, Dewan Besar, dan juga di Galeri Seni serta Pejabat Pentadbiran.

Krew penggambaran cuma 2 orang sahaja iaitu sdr. RAMLI dan saya sendiri...pelik kan cuma DUA ORANG krew je...tapi tidak mustahil untuk melakukannya kerana dimana ada kemahuan di situ mesti ada jalan. Yang penting minat dan juga kemahuan untuk melakukannya. Kalau kita tak mahu atau kurang minat tentu saja mustahil untuk melakukannya. Makan juga akan gagal untuk dilakukan jika kita malas menyuap makanan ke mulut...bukan begitu.....cukup lah setakat ini je ngomelan aku....Penggambaran akan disambung esok.....tungguuuuuuuuuuuu.....

Sunday, December 21, 2008

AUG oh....AUG

Semalam aku terima panggilan dari Sdr. Zulkifli Ibrahim tetapi aku balas dengan SMS yang mengatakan aku berada di Perak. Dia balas O.k dan dia kata dia berada di Kedah....Kemuadian aku dapat panggilan En. Hazrul tapi tak sempat balas. Aku balas dengan SMS yang aku sedang berada di Perak. Dia balas dengan SMS yang mengatakan ada kerja masuk malam esok yakni malam inilah...Dia kata Zul hubunginya dengan talipon. En. Hazrul suruh aku hubungi Sdr. Aziz. Aku hubungi sdr. Aziz. Sdr. Aziz kata Pn. Jaslina talipon Zul mengatakan malam esok yakni malam ini ada tugas masuk iaitu Majlis Makan Malam Asean University Games yang akan disampaikan sendiri oleh KPT. Dikatakan Puan Jaslana talipon Zul minta buat rakaman video dan pemasangan LCD di foyer DECTAR.
Kalau ikutkan jadual kerja harian kami tiada tugas hari Sabtu dan Ahad ini. Ini merupakan kerja yang tergempar. Maka aku pun terus balik ke Bangi dan menghubungi beberapa orang krew untuk membuat rakaman MCP majlis berkenaan. Mereka yang aku hubungi ialah Sdr. Ramli, Sdr. Kamarul, Sdr. Zulhimi, Sdr. Khaidir dan lain2. Sukar juga kalau tugas yang merupakan tugas yang tergempar macam ni terutama untuk mencari krew yang sanggup bertugas secara tergempar dan hari minggu pulak tu. Nampaknya tugas kami sentiasa dalam keadaan 'on call' dan sentiasa di 'remote control' dari jauh umpamanya dari KEDAH DARUL sawah....atau dari PERAK DARUL timah...ops! ye ke darul timah...timah dah habis dah...yang ada mungkin MAK TIMAH........
Walau bagaimanapun semasa majlis berlangsung ramai juga krew yang sempat datang untuk membantu membuat rakaman MCP program berkenaan. Diantara mereka yang sempat hadir ialah Zulhimi, Bukhari, Khaidir, Wafiy, Naziruddin, Asrol, Hasnah, Hanim, dan dua tiga orang lagi yang aku lupa namanya...Rakaman pada masa majlis berlangsung telah berjalan dengan licin tanpa sebarang masalah walaupun tugas berkenaan merupakan tugas yang tergempar...TERIMA KASIH kepada semua yang membantu...

Friday, December 19, 2008

Penyuntingan Sketsa...

Hari ini proses penyuntingan video 'sketsa' untuk Malam Anugerah Seni UKM 2008 telah dimulakan. Tiga buah babak telah disunting. Walau bagaimanapun masih banyak lagi yang belum disunting malah masih belum lagi dibuat penggambaran. Penggambaran banyak ditangguhkan kerana masing-masing terlibat dengan tugas yang perlu diutamakan. Seperti kami dimana kami terlibat dengan rakaman dan penyediaan CCTV untuk Syarahan dan Dialog Nobel Laureate. Selain dari itu kamai juga terlibat dengan rakaman dan penyediaan CCTV untuk Asean University Games 2008 dalam kampus UKM di Bangi. Apa-apa pun penggambaran akan disambung minggu depan...InsyaAllah kalau tiada sebarang aral. Penyuntingan dan pos produksi mesti disiapkan sebelum 9 Januari 2009 kerana tarikh berkenaan merupakan tarikh majlis Anugerah Seni UKM 2008 yang akan berlangsung di DECTAR.

Dalam penggambaran sketsa ini 'continuity' amat penting jika tidak akan menghadapi masalah apabila telah tiba di peringkat penyuntingan umpamanya tertinggal 'shot-shot' yang penting. Kalau tertinggal satu 'shot' pun kita akan menghadapi masalah apabila membuat penyuntingan. Oleh itu 'continuity 'wajib dijaga dengan teliti. Itulah sebabnya dalam setiap penggambaran ia memerlukan seseorang untuk menjaga 'continuity shot'. Individu yang menjaga 'continuity ' akan teliti mencatat 'shot-shot' supaya ia tidak lari dari continuity yang sepatutnya. Penjaga 'continuity' ini dikenali sebagai 'contigirl' mungkin sesuai untuk wanita kerana wanita lebih teliti kepada perkara-perkara yang kecil dan terperinci.

Diperingkat penggambaran atau produksi, ramai krew diperlukan sepanjang penggambaran berkenaan. Krew-krew berkenaan ialah pengarah, jurukamera, jurulampu, juruaudio, contigirl, jika perlu penolong pengarah, dan beberapa orang lagi. Jika penggambaran hanya dilakukan oleh DUA ORANG krew sahaja...hmmmmm....itu amat menghairankan TETAPI tidak mustahil untuk melakukan, cuma produksi berkenaan akan menjadi perlahan dan mungkin sukar untuk disiapkan mengikut waktunya....namun kalau sudah menjadi tugas ia mesti juga disiapkan......tanpa terkeluar daripada 'dateline' yang telah ditetapkan...


Wednesday, December 17, 2008

Nobel Laureate Lecture






semua foto2 adalah pemandangan di Dataran Canselori

Awal pagi persiapan alatan audio visual untuk acara Karate-Do sukan antara universiti asian telah disiapkan di DECTAR. Acara sukan berkenaan bermula pada pukul 9.00 pagi. Persiapan peralatan lebih awal amat penting kerana jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini terhadap peralatan berkenaan maka masih ada masa untuk di perbetulkan. Tidaklah kesuntukan masa untuk memperbaikinya. Kita tidak mungkin mengetahui bila peralatan berkenaan akan mengalami kerosakan dan sebagainya. Oleh itu persediaan awal amat penting.

Setelah peralatan audio visual di DECTAR selesai disempunakan, maka kami bergerak pula ke Dataran Canselori dan Bilik Senat untuk menyempurnakan pemasangan peralatan audio visual untuk Syarahan Nobel Laureate. Segala kemasan akhir dilakukan terhadap semua peralatan yang telah dipasang semalam. Semasa syarahan, Sdr. Kamarul membuat rakaman video dalam Bilik Senat sementara saya dan Sdr. Ramli 'standby' di Dataran Canselori jika berlaku sebarang gangguan kepada audio dan visual yang ditayangkan di layar. Ketika majlis Dialog Nobel Laureate pada sebelah pertang pula, Sdr. Wafiy dari Unit Cetak PP&P pula membuat rakaman di Bilik Senat.

Sambutan terhadap syarahan pada sebelah pagi amat menggalakkan dimana ruang di dalam bilik Senat dipenuhi para hadirin. Sementara hadirin selebihnya yang kebanyakannya terdiri daripada para pelajar pula memenuhi ruang di hadapan layar tayangan di Dataran Canselori. Namun begitu semasa Dialog Nobel Laureate pada sebelah petang dilokasi yang sama tidak mampu menarik para pengunjung untuk memenuhi ruang di depan layar tayangan di Dataran Canselori. Bagaimanapun ruang dalam Bilik Senat dipenuhi oleh para hadirin. Pihak PRO telah minta kami membuat salinan DVD kerana dikatakan NC akan memberikan DVD syarahan berkenaan kepada penceramah sebagai 'souvenir' dalam satu majlis makan malam ini. Dua salinan DVD telah disiapkan dan telah diserahkan kepada En. Saiful pada jam 5.00 petang. Hmmm....tamatlah sudah tugas pada hari ini.....................tugas hari esok pasti setia menanti...hu...hu...hu... rakaman video sketsa dan acara sukan Karate-Do merupakan kedudukan dalam list yang terawal....

Kakitangan yang terlibat dalam kedua-dua program iaitu Syarahan Nobel Laureate, Dialog Nobel Laureate dan acara sukan Karate-Do tersebut ialah Sdr. Ramli, Sdr. Kamarul, Sdr. Ruhaizad, Sdr. Muhammad Wafiy dan Sdr. Ahmad Yunus Misdi. Terima kasih kepada semua......

Tuesday, December 16, 2008

Nobel Laureate...





Sebelah petang saya dan sdr. Ramli serta Kamarul pergi ke Kompleks Tun Abdullah Salleh untuk menyediakan pemasangan CCTV untuk Syarahan Nobel Laureate esok pagi. Namun kami mendapat berita bahawa syarahan berkenaan berpindah ke Bilik Senat. Berita tersebut agak lewat kami terima jika diberitahu lebih awal tentu kami akan terus menuju ke Bilik Senat. Di Bilik Senat Saya bersama Sdr. Ramli terus membuat pemasangan kabel-kabel video dan audio untuk tujuan menayangkan visual syarahan ke Dataran Pentadbiran di bawah. Pemasangan kabel dan ujian audio dan video telah dibuat dan kelihatan tiada sebarang gangguan audio dan video. Tugas pemasangan tersebut dapat kami siapkan pada jam 5.00 petang. Namun begitu pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan akan menyediakan layar tayangan dan alatan PA System esok pagi. Diharap esok pagi tidak akan timbul sebarang kesulitan. Selepas tugas di Bilik Senat kami kembali semula ke DECTAR untuk menguruskan peralatan audio visual di sana kerana acara sukan Karate-Do juga telah selesai. Hmmm...itulah yang saya maksudkan tugas minggu ini ada yang terpaksa dilakukan secara serentak...hmmm..apa boleh buat...


Karate-Do, ahhhh.....




Waktu pagi kami menyediakan kamera video untuk rakaman acara sukan Karate-Do Sukan Universiti Asean di DECTAR. Semuanya dapat disiapkan dengan dengan sempurna. Penyediaan LCD untuk siarkan rakaman kamera di dalam Dewan DECTAR dan Panggung Seni juga dilakuakn untuk tontonan peserta dan penonton.

Kami melakukan rakaman acara sukan berkenaan termasuk majlis perasmiannya. Bagi kami yang seringkali berdepan dengan pelbagai majlis perasmian, perasmian acara Karate_do ini terlalu 'simple', dan tidak berapa kemas nampaknya. Mungkin kerana kurang latihan agaknya...itulah anggapan kami. Hmmm...membuat komen mudah kan....

Kami sebenarnya kekurangan tenaga kerja dalam melaksanakan tugas ini. Oleh yang demikian kami terpaksa meminta bantuan krew dari Unit Percetakan iaitu SDR. MUHAMMAD WAFIY dan dari Fakulti Kejuruteraan, SDR. AHMAD YUNUS MISDI. Hmm...terima kasih kepada kedua-dua mereka....

Monday, December 15, 2008

Hmmmmm....apa boleh buat

Minggu ini merupakan minggu yang padat dengan tugas. Bukan tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi minggu ini ada tugas yang berjalan serentak. Terdapat beberapa program yang memerlukan rakaman video. Perasmian Persidangan Belia Dunia 2008 di Marriot, Putrajaya perlu dirakam. Acara Sukan Antara Universiti Asean perlu dirakam. Sketsa untuk Malam Anugerah Seni UKM 2008 perlu dirakam. Syarahan Nobel Lorrette perlu dirakam. Dialog Nobel Lorrette juga perlu dirakam.

Selain dari itu persediaan CCTV untuk acara Karate-Do antara universiti asean di DECTAR perlu disediakan. CCTV untuk Syarahan Nobel Lorrette di Kompleks Tun Abdullah Salleh juga perlu disediakan. Semua tugas ini perlu dijalankan oleh tenaga kerja seramai empat orang dalam Unit Audio Video. Diharapkan tahun 2009 nanti akan mendapat tambahan tenaga kerja yang baru.

Pagi ini dua buah sketsa untuk Majlis Anugerah Seni telah dirakam. Sketsa tersebut ialah untuk intro sebelum pengumuman calon-calon Anugerah Mahasiswa. Berikutnya ialah sketsa untuk intro sebelum pengumuman Anugerah Seni Bela Diri. Sebelah petang pula rakaman Sketsa untuk intro calon Anugerah Seni Tari. Ketiga-tiganya telah dirakam dengan sempurna dan mendapat kerjasama yang memuaskan dari semua pihak yang terlibat. Rakaman akan dijalankan lagi..emmm..mungkin pada 28 haribulan... Sebelum waktu balik saya dan Sdr. Ramli sempat memasang kabel-kabel kamera untuk rakaman perasmian acara sukan Karate-Do di DECTAR pada esok hari iaitu 17 Disember 2008.

Dalam tugas berkaitan video, peralatan juga memainkan peranan penting disamping tenaga kerja. Peralatan yang kurang perlu ditambah. Peralatan yang telah 'out dated' perlu ditukar. Peralatan yang rosak perlu dibaiki. Semua peralatan ini perlu dipantau dan sentiasa berada dalam keadaan yang siap sedia untuk digunakan. Siapakah yang akan bertanggung jawab memantau dan berusaha untuk menangani masalah ini???? Maksud saya sebarang masalah berkaitan peralatan. Hmmmmm.....ia masih merupakan tanda soal yang BESAR jika ia melibatkan KOS atau BUDGET.......

Kalau kami terpaksa bertugas dengan keadaan peralatan yang serba serbi kekurangan....hmmm....apa boleh buat....jalankanlah juga walaupun hasil kerja berkenaan tersisip sebarang kecacatan......

Wednesday, December 10, 2008

Alkohol dan Arak.....


Sdr. Ahmad Yunus Misdi.

Isu berkaitan alkohol dan arak seringkali menjadi bahan perbincangan terutama dikalangan orang-orang yang beragama Islam. Orang Islam akan mudah tersentuh apabila terdapat makanan atau minuman yang dimasukkan ke mulut mengandungi bahan haram berkenaan. Masalah arak dan alkohol ini selalu ditimbulkan dan dibincangkan dikalangan masyarakat setiap zaman bermula dari saat ia diharamkan di zaman Rasulullah s.a.w. Hingga ke zaman sekarang ini ia menjadi salah satu perkara penting yang dibincangkan dari seminar yang kecil-kecil di kedai-kedai kopi hinggalah ke seminar-seminar yang besar di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara dan juga di kalangan negara-negara Islam di dunia. Hari ini Unit audio Visual, Pusat Penerbitan, UKM telah membuat rakaman video sebuah forum bertajuk 'Alkohol dan Arak: Dimana Halal dan Haramnya'.

Semua jurukamera video Unit Audio Video, Pusat Penerbitan sedang bercuti sempena Hari Raya Aidul Adha dan cuti sekolah untuk balik ke kampung dan sebagainya. Oleh yang demikian Unit Audio Video, Pusat Penerbitan telah meminta bantuan jurukamera Fakulti Kejuruteraan UKM, SDR. AHMAD YUNUS BIN MISDI untuk membuat rakaman forum berkenaan.

Ahli-ahli panel forum tersebut ialah PROF. MADYA DR. MOHD. KHAN AYOB (FST, UKM), EN. DZULKIFLI MAT HASHIM (UPM), dan USTAZAH TAQWA (JAKIM) sementara PROF. DATO' PADUKA DR. MAHMOOD ZUHDI (UIA) tidak dapat menghadirkan diri. Pengerusi Forum ialah PROF. DATO' DR. MOHD. YUSOF OTHMAN (UKM).

Antara perkara yang mampu dicatatkan ialah;
- Istilah ALKOHOL berasal dari istilah Arab iaitu 'al-Kohl' dan diperkenalkan selepas zaman Rasulullah s.a.w.

- Istilah Arak juga berasal dari bahasa Arab iaitu 'al-Khamr'

- Alkohol adalah istilah umum

- Jenis alkohol;
ETANOL iaitu sebatian yang memabukkan
METANOL yang juga memabukkan tetapi juga beracun (toxic)

- Fatwa Kebangsaan 1988 mengatakan, alkohol sebagai bahan penstabil dalam kordial adalah diharuskan dan ia tidak memabukkan.

- Terdapat perbezaan diantara penghasilan alkohol untuk minuman dan alkohol untuk tujuan yang lain.

- Proses penapaian(pemeraman yang menggunakan ragi) sedikit sebanyak akan menghasilkan alkohol, tapai umpamanya. Namun tapai diharuskan dalam Islam menurut kata Ustazah dari JAKIM.

- Arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol itu haram hukumnya.

- Apabila alkohol dicampurkan dengan makanan dan dipanaskan selama 2 jam setengah, ia masih lagi wujud dalam makanan berkenaan.

Untuk keterangan yang lebih lanjut dan memuaskan hati maka dipersilakan saudara/ saudari menghubungi pihak JAKIM dan juga ahli-ahli panel yang berkenaan.............................................

Alamat web JAKIM
http://www.islam.gov.my/portal/


Friday, December 5, 2008

Anugerah Sarjana Bestari

Hari ini kami akan membuat rakaman video Multiple Camera Production untuk Majlis Anugerah Sarjana Bestari di Dewan Canselor Tun Abdul Razak pada pukul 8.00 malam nanti. Namun segala persiapan teknikal akan dilakukan sejak pagi lagi. Raptai majlis akan dijalankan jam 10 pagi. Majlis berkenaan merupakan majlis untuk mengiktiraf sumbangan para pensyarah kepada universiti. Majlis ini diadakan setiap tahun dan ini merupakan tahun yang ketiga.
Sebelum majlis berlangsung satu tayangan video Majlis Anugerah bestari tahun lalu akan ditayangkan semasa para hadirin sedang menunggu tetamu kehormat. Video berkenaan telah aku siapkan penyuntingannya. Seramai 15 krew rakaman video akan bertugas pada malam ini. Semua mereka dipanggil untuk membantu tugas rakaman MCP malam ini. Mereka semua dijemput dari jabatan-jabatan lain dalam UKM untuk membantu dalam tugas rakaman berkenaan. Apa yang diharapkan semoga tugas kami berjalan dengan lancar pada malam ini.....